MB Kedah diarah fail penyataan pembelaan kes saman Anwar

Laporan Sinar Harian 13 Disember lalu.
Laporan Sinar Harian 13 Disember lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Alor Setar pada Rabu mengarahkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memfailkan pernyataan pembelaan dalam saman fitnah yang difailkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, selewat-lewatnya 13 Februari ini.

Saman berkenaan berhubung ucapan berbaur fitnah dalam satu kempen ceramah 'Jelajah PN Best Tambun’ yang didakwa mengaitkan Pengerusi Pakatan Harapan itu dengan perlakuan tidak bermoral.

Peguam Datuk S. N. Nair yang mewakili Anwar berkata, mahkamah juga mengarahkan anak guamnya, memfailkan jawapan kepada pernyataan pembelaan selewat-lewatnya 13 Mac.

"Pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 20 Mac ini,” katanya selepas pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar V. K Neethiya Nair secara dalam talian hari ini.

Prosiding itu turut disertai peguam Jaden Phoon Wai Ken dan Wong Guo Jin mewakili Anwar manakala peguam Adam Luqman Amdan bertindak bagi pihak Muhammad Sanusi

Pada 13 Disember lepas, Anwar, 75, selaku plaintif memfailkan saman itu dengan menamakan Muhammad Sanusi, 48, sebagai defendan tunggal.

Anwar dalam pernyataan tuntutannya berkata pada 13 November tahun lepas, Muhammad Sanusi, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, telah memberi ucapan pilihan raya pada ceramah tersebut sebagai menyokong calon PN bagi Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dengan ratusan pengunjung menghadiri ceramah itu.

Menurut Anwar, ucapan dalam ceramah itu telah diterbitkan atau menyebabkan penerbitan semula dan disiarkan secara siaran langsung di aplikasi Facebook di bawah nama "Faizal Azumu” yang mendapat tontonan melebihi 88,000 kali, 531 reaksi, 58 kali perkongsian dan 384 komen, setakat tarikh pemfailan saman itu.

Artikel Berkaitan:

Menurut Presiden PKR itu, pada 14 November 2022, kenyataan fitnah daripada video tersebut telah dipetik oleh MalaysiaKini dan portal itu menerbitkan satu artikel dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris.

Anwar mendakwa kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud plaintif mendapat pengampunan Diraja melalui penipuan dan kekal tidak diampunkan serta telah memperdaya Yang di-Pertuan Agong, seorang pembohong, tidak boleh dipercayai, tidak beretika dan mengkhianati mandat rakyat.

Menurut plaintif kenyataan-kenyataan itu dibuat dengan berniat jahat bertujuan untuk menghasut orang ramai dan menimbulkan kebencian peribadi terhadapnya dan PH semasa tempoh berkempen menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November tahun lepas.

Ahli Parlimen Tambun itu berkata, kenyataan itu tidak benar dan semua pertuduhan jenayah yang dihadapinya sebelum ini adalah sebahagian daripada konspirasi politik yang dirancang untuk menyingkirkan beliau daripada memegang jawatan awam dan merosakkan karier politiknya. - Bernama