Bayi koma: Tiga wanita direman enam hari

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Tiga wanita yang bekerja di sebuah pusat jagaan kanak-kanak direman selama enam hari bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang bayi lelaki berusia empat bulan koma akibat dipercayai didera.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, perintah reman dikeluarkan mahkamah terhadap wanita berkenaan bagi membolehkan siasatan lanjut kes dilakukan.

"Tiga wanita berusia dalam lingkungan 22 hingga 33 tahun ini direman bermula hari ini hingga 15 Januari nanti," katanya kepada media di sini pada Selasa.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang bayi lelaki berusia empat bulan koma dipercayai didera pengasuh sebuah pusat jagaan kanak-kanak berdaftar di Batu Burok di sini pada Rabu lalu.

Bayi tersebut yang mengalami kecederaan serius iaitu pendarahan di dalam otak dan keretakan pada tempurung kepala kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, kejadian disedari bapa mangsa berusia 29 tahun yang bekerja sebagai pegawai perubatan ketika mengambil bayinya di pusat jagaan tersebut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak iaitu kesalahan menganiaya atau mencederakan kanak-kanak yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel Berkaitan: