Kereta bekas banduan terbalik ketika cuba lari dari polis

Kereta Perodua Myvi dipandu penjenayah terbabas lalu terbalik di Taman Pendamar Jaya, Ayer Molek selepas memecut laju melarikan diri dari polis, semalam.
Kereta Perodua Myvi dipandu penjenayah terbabas lalu terbalik di Taman Pendamar Jaya, Ayer Molek selepas memecut laju melarikan diri dari polis, semalam.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Polis terpaksa mengejar kereta yang dipandu seorang lelaki sejauh hampir 10km dari Bukit Katil sebelum berjaya menahan suspek di Taman Pendamar Jaya, Ayer Molek di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, suspek berusia 31 tahun itu ditahan kira-kira jam 1 tengah hari ketika cuba melarikan diri daripada polis selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, sebelum kejadian pihaknya menerima maklumat daripada orang awam di Taman Bukit Katil Damai II, mengenai sebuah Perodua Myvi berkeliaran di kawasan terbabit.

"Sebaik anggota polis tiba di kawasan taman berkenaan, terdapat seorang lelaki sedang memanjat pagar untuk keluar daripada salah sebuah rumah penduduk di situ. Apabila menyedari kehadiran polis, suspek terus ke keretanya.

Suspek berjaya ditahan polis selepas cuba melarikan diri sejauh 10km.
Suspek berjaya ditahan polis selepas cuba melarikan diri sejauh 10km.

"Dia melarikan diri dengan memecut laju di dalam kawasan perumahan lalu keluar ke jalan Bukit Katil menuju ke Jalan Tun Kudu berhadapan Dewan Tun Ali sebelum membuat pusingan U menghala ke Air Molek," katanya ketika dihubungi hari ini.

Afzanizar berkata, semasa tiba di Taman Pendamar Jaya, Ayer Molek, kereta yang dipandu suspek melanggar tiga buah kenderaan lain sehingga terbabas dan terbalik.

"Hasil semakan turut mendapati suspek yang beralamat di Tangkak, Johor itu mempunyai enam rekod jenayah lampau serta kesalahan berkaitan dadah.

Artikel Berkaitan:

"Suspek yang juga seorang penganggur itu baru saja dibebaskan dari Penjara Sungai Udang pada 25 Mac lalu selepas selesai menjalani hukuman penjara selama 10 tahun atas kesalahan mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan," katanya.

Menurutnya, polis kini menahan reman suspek selama empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan.