[VIDEO] Bincang hati ke hati selesai kemelut politik Sabah - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid tiba di bangunan UMNO Kota Kinabalu.
Ahmad Zahid tiba di bangunan UMNO Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor akan dilakukan secara dari hati ke hati supaya keputusan 'menang-menang' dapat dicapai untuk semua pihak.

Ahmad Zahid berkata, pertemuan itu sudah tentu untuk mencari jalan terhadap penyelesaian mengenai kemelut yang melanda Sabah.

"Malam ini, Datuk Seri Anwar bersama saya akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji dan membincangkan permasalahan politik di Sabah ini.

"Insya-ALLAH, kita akan adakan perbincangan dari hati ke hati dan tentunya kita akan mencari jalan terhadap penyelesaian kemelut ini.

"Kita akan berikhtiar supaya 'menang-menang' akan dicapai dalam penghujungnya nanti," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis makan malam bersama UMNO Sabah di bangunan UMNO, di sini pada Isnin.

Majlis makan malam itu turut dihadiri Ketua Badan Perhubungan UMNO Sabah yang juga Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin serta barisan pimpinan UMNO Sabah.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, keputusan mengenai perbincangan berkenaan akan dimaklumkan oleh Perdana Menteri selepas pertemuan itu.

"Insya-ALLAH selepas pertemuan itu nanti, saya yakin (Datuk Seri) Anwar akan bertemu dengan media bagi mengatakan apa keputusannya nanti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kemelut politik melanda Sabah apabila Bung Moktar pada Jumaat mengumumkan bahawa UMNO dan BN Sabah menarik semula sokongan terhadap Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah.

Susulan penarikan sokongan itu menyebabkan kerajaan yang ditubuhkan bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bergolak apabila Hajiji didakwa sudah tidak mempunyai sokongan daripada sebahagian ADUN.

Bagaimanapun, Hajiji pada Ahad mendakwa bahawa beliau mendapat sokongan daripada 44 ADUN dan kekal sebagai Ketua Menteri Sabah.