Pembantu rumah godam akaun bank majikan, curi wang RM50,000

Steven Sim mengucapkan terima kasih kepada pegawai polis yang berjaya memberkas suspek.
Steven Sim mengucapkan terima kasih kepada pegawai polis yang berjaya memberkas suspek.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Seorang pembantu rumah ditahan kerana disyaki menipu dan mencuri wang majikannya yang juga seorang pesara guru.

Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim Chee Keong berkata, beliau mengetahui perkara itu setelah anak perempuan mangsa memaklumkan mengenai wang bapanya sebanyak RM50,000 telah hilang.

"Saya segera berjumpa dengan pihak berwajib termasuk Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Kerjasama antara Kementerian Kewangan, BSN, pihak telekomunikasi dan polis telah berjaya memberkas individu tersebut dalam tempoh tujuh hari," katanya dalam kenyataan di Facebooknya, pada Ahad.

Steven Sim berkata, suspek itu dipercayai mempunyai akses terus kepada telefon bimbit mangsa berusia 85 tahun.

"Suspek juga disyaki menggunakan kemahiran teknologi maklumat sehingga berjaya menggodam akaun BSN majikannya itu untuk membeli barang kemas dan emas di aplikasi e-dagang, kemudian merancang untuk ke Filipina.

"Pasukan polis berjaya memberkas suspek pada saat-saat akhir kerana dia sudah membeli tiket kapal terbang untuk melarikan diri," katanya.

Beliau berkata, kajian menunjukkan bahawa 37 peratus pendeposit mendedahkan kata laluan kepada orang lain.

Artikel Berkaitan:

"Tidak dinafikan, zaman sekarang ni memang mudah untuk melakukan pelbagai urusan perbankan melalui telefon, tetapi jangan sesekali dedahkan kata laluan kita kepada orang lain," tegasnya.

Beliau berkata, kepantasan maklum balas pihak berkuasa merupakan antara elemen paling penting untuk tangkap suspek dan merampas semula wang yang dicuri.

"Rakyat dan kerajaan harus bersama-sama menggembleng tenaga, kita mesti perangi 'scam' habis-habisan.

"Saya akan terus lawan bermati-matian bagi menumpaskan sindiket scam kewangan, ini soal wang simpanan rakyat, wang pesara dan wang orang susah," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor telah mengesahkan penahanan suspek.

"Bertindak atas laporan tersebut, kita telah berjaya mengesan dan menangkap suspek berusia 37 tahun ditugaskan menjaga mangsa yang menghidap masalah kesihatan," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal terhadap suspek mendapati dia diupah menjaga mangsa sejak 2 Mei tahun lalu.

"Suspek mengaku telah menggunakan kad ATM milik mangsa untuk membuat 19 kali transaksi bagi pembelian barangan seperti gelang emas, ‘gold bar’ dan rantai emas melalui platform e-dagang," katanya.

Beliau berkata, suspek juga telah menjual barangan tersebut di sekitar Kuala Lumpur dan wang hasil jualan tersebut telah digunakan untuk kegunaan peribadi.

"Suspek telah direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.