[VIDEO] Taktik baharu ah long, upah anggota sindiket dari KL

Kamarul Zaman menunjukkan modus operandi sindiket ah long yang mengupah anggotanya dari Kuala Lumpur untuk melakukan perbuatan khianat di negeri ini.
Kamarul Zaman menunjukkan modus operandi sindiket ah long yang mengupah anggotanya dari Kuala Lumpur untuk melakukan perbuatan khianat di negeri ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kegiatan pinjaman wang tidak berlesen atau ah long dikesan guna taktik baharu dengan mengupah anggota sindiket dari Kuala Lumpur ke Batu Pahat untuk melakukan kerja menyimbah cat dan khianat.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, taktik tersebut terbongkar selepas lapan ahli sindiket ah long berusia 27 hingga 67 tahun ditahan dalam beberapa serbuan di sekitar Kuala Lumpur.

Jelasnya, tawaran gaji sebanyak RM800 bagi setiap perbuatan khianat dengan api dan RM500 sebagai upah simbah cat.

"Pada 4 Januari lalu, sepasukan polis bahagian D7 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat telah membuat serbuan dan menahan tiga ahli sindiket itu pada pukul 1.40 petang.

"Maklumat itu adalah hasil kerjasama dengan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Brickfield yang sebelum ini telah menahan tiga lelaki tempatan dan dua wanita termasuk seorang wanita warganegara Vietnam.

"Dalam serbuan tersebut, polis turut merampas tujuh unit telefon bimbit, wang tunai RM4,649, sepasang sarung tangan, dua buah kereta, 12 keping kad ATM, dua keping kad akses rumah dan dua keping kertas tercatit alamat peminjam," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, pada Ahad.

Menurut Kamarul Zaman, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan saki baki sindiket yang masih bebas.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan awal juga mendapati terdapat keldai akaun bagi sindiket terbabit akan menerima wang upahan sebanyak 10 peratus daripada nilai transaksi.

"Ada di antara tangkapan yang dibuat adalah bekas peminjam yang gagal menjelaskan hutang dan melakukan jenayah demi bagi melangsaikan hutang dan mengaut keuntungan lebihan.

Barangan yang dirampas daripada anggota sindiket ah long yang ditahan polis.
Barangan yang dirampas daripada anggota sindiket ah long yang ditahan polis.

"Modus operandi sindiket itu adalah dengan mengiklankan ke media sosial dan mengenakan kadar pinjaman dari RM1,000 sehingga RM50,000 manakala faedah pinjaman yang dikenakan sebanyak 20 sehingga 50 peratus," katanya.

Jelasnya, kesemua yang ditangkap termasuk dua wanita warga Vietnam telah direman selama enam hari sehingga Selasa bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 435 Kanun Keseksaan serta Seksyen 436 Kanun Keseksaan.

"Polis percaya penahanan kesemua suspek, membolehkan 21 kes berkaitan ah long negeri ini termasuk di Brickfield dan Tanjung Minyak, Melaka dapat diselesaikan," katanya.