Pelajar UiTM dikhuatiri lemas di Pantai Cherating

Operasi SAR digerakkan bagi mengesan mangsa yang dikhuatiri lemas di Pantai Cherating pada Sabtu.
Operasi SAR digerakkan bagi mengesan mangsa yang dikhuatiri lemas di Pantai Cherating pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun dikhuatiri lemas selepas dibawa arus ketika mandi di Pantai Cherating di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa, Adam Ridhuan Abdul Rejab,18, bersama 19 rakannya tiba di pantai itu kira-kira jam 1.30 petang untuk berehat dan berkelah.

Menurutnya, ketika mereka mandi sambil bermain di dalam air, ombak tinggi tiba-tiba datang merempuh kumpulan pelajar itu.

"Mangsa dipercayai terpecah dari kumpulan rakannya apabila dibawa arus ke tengah sebelum hilang manakala yang lain berjaya menyelamatkan diri.

"Menyedari mangsa hilang, rakannya segera mendapatkan bantuan orang ramai yang berada di kawasan itu untuk membantu mengesan mangsa," katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian jam 1.45 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Polis Cherating ke lokasi kejadian untuk tindakan lanjut.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan dengan kekuatan 16 anggota penyelamat terdiri lapan anggota polis dan lapan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng.

"Ops SAR diteruskan dengan kawasan pencarian di sekitar pantai," katanya.

Artikel Berkaitan: