Hidalgo tak sabar beraksi, sasar julang piala

Manuel Hidalgo ketika tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar pada Sabtu.
Manuel Hidalgo ketika tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar pada Sabtu.
A
A
A

TONGGAK baharu Kedah Darul Aman (KDA) FC, Manuel Hidalgo tidak sabar untuk turun beraksi dan meletakkan sasaran membantu menjulang piala bersama kelab tersebut pada musim 2023.

Bekas pemain sayap kanan Sri Pahang FC itu diakui mampu memberi masalah pada pertahanan pasukan lawan sejak dua musim lalu biarpun mempunyai susuk tubuh yang kecil.

Perancangan rapi pengurusan Sang Kenari dengan membawa masuk pemain berkualiti termasuk pengendali baharu, Nafuzi Zain turut menarik minatnya untuk bersama kelab tersebut bagi musim ini.

"Sasaran saya pada musim ini adalah untuk memenangi piala sebanyak yang kami boleh lakukan. Saya berharap dapat memberikan aksi terbaik dalam membantu pasukan.

"Saya sudah mengenali dan bercakap dengan Nafuzi sejak setahun atau dua tahun lalu dan saya melihat pasukan Terengganu FC yang dibawanya berjaya berkembang dengan baik.

"Saya berharap akan dapat belajar dan berjaya dibawah kendaliannya," katanya kepada pemberita semasa ditemui pada Sabtu.

Pemain Argentina berusia 23 itu berkata demikian selepas tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, dekat sini dan disambut oleh pemilik saham majoriti KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar serta peminat Sang Kenari.

Ujarnya, KDA FC adalah sebuah pasukan yang mempunyai sejarah tersendiri dan dikenali dalam Liga Malaysia terutamanya sokongan tidak berbelah bahagi penyokong setianya kepada pasukan.

Artikel Berkaitan:

"Saya tidak menjangkakan begitu ramai penyokong yang tunggu saya di sini (Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim), saya begitu gembira dengan sambutan yang diberikan dan tidak sabar untuk turut menyertai latihan pasukan," katanya yang dikenali dengan panggilan Manu.

Pada Khamis, KDA FC mengejutkan penyokong bola sepak tanah air apabila mengumumkan bekas tonggak Sri Pahang FC itu sah pemain baharu keluarga Sang Kenari yang menyertai seorang lagi bekas pemain pasukan tersebut iaitu Lee Tuck yang didaftarkan sebagai pemain tempatan.

Setakat ini, gergasi bola sepak utara itu sudahpun mengumumkan enam pemain import untuk mengisi kuota Liga Super dan Liga Simpanan, namun masih lagi memantau dua atau tiga lagi pemain import bergantung kepada keperluan taktikal pasukan.