Hujan berterusan diramal di tiga negeri

MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di beberapa kawasan di Terengganu, Kelantan dan Sabah. - Gambar hiasan
MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di beberapa kawasan di Terengganu, Kelantan dan Sabah. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada Sabtu mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di beberapa kawasan di Terengganu dan Kelantan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada jam 12.25 tengah hari, MetMalaysia memaklumkan, di Kelantan kawasan dijangka terlibat ialah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai, manakala di Terengganu, ia melibatkan sekitar Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.

Dalam kenyataan sama, ia turut mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada yang dijangka berlaku di Sabah bermula 9 hingga 11 Januari ini melibatkan Pantai Barat (Ranau dan Kota Belud), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) serta Kudat.

"Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) atau Daerah (JPBD) hendaklah diaktifkan dan meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana yang mungkin berlaku terutama di kawasan berisiko tinggi," menurut kenyataan itu.

MetMalaysia turut memohon JPBN atau JPBD memastikan setiap pusat pemindahan sementara (PPS) dilengkapi dengan keperluan asas, manakala Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) mempunyai aset pengoperasian mencukupi serta berada dalam keadaan bersedia untuk digunakan.

Agensi Pengurusan Bencana Negara melalui Pusat Kawalan Bencana Negara akan sentiasa memantau situasi parameter maklumat teknikal dengan kerjasama pelbagai agensi teknikal. - Bernama

Artikel Berkaitan: