Tengku Zafrul kini bersama UMNO Bahagian Kota Raja

Tengku Zafrul (kiri) kini menjadi ahli UMNO Bahagian Kota Raja.
Tengku Zafrul (kiri) kini menjadi ahli UMNO Bahagian Kota Raja.
A
A
A

SHAH ALAM - Bendahari Barisan Nasional (BN) Selangor, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz kini menjadi ahli UMNO Bahagian Kota Raja.

Dalam perkongsian di Facebooknya, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, beliau menerima pelawaan untuk menjadi sebahagian daripada keluarga UMNO Bahagian Kota Raja.

“Alhamdulillah, terima kasih atas pelawaan untuk bersama keluarga besar UMNO Kota Raja. Bak kata pepatah, kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan. Insya-ALLAH bersama kita teruskan tradisi membela rakyat,” katanya di Facebook pada Sabtu.

Sementara itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Raouf Mokhtar berkata, penyertaan Tengku Zafrul cukup bermakna buat mereka.

“Saya amat berbesar hati dengan kehadiran Tengku Zafrul ke UMNO Bahagian Kota Raja.

"Secara peribadi, dengan kehadiran beliau, akan memperkukuhkan lagi gerak kerja kami melalui pengalamannya sebagai Menteri Kewangan dan sekarang Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

“Saya mengharapkan Tengku Zafrul sudi berkongsi pengalaman beliau kepada seluruh keluarga besar UMNO Kota Raja. Kami sentiasa terbuka untuk menerima ahli-ahli UMNO yang berpotensi untuk memperkukuh UMNO di Selangor,” katanya.

Tambah Raouf, pelawaan kepada Tengku Zafrul adalah keputusan yang dibuat secara bersama sebagai satu bahagian dan beliau berasa bersyukur kerana semua ahli jawatankuasa UMNO Kota Raja menyambut baik cadangan pelawaan tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Insya-ALLAH, semoga UMNO Kota Raja menjadi bahagian yang kukuh akarnya, teguh pendiriannya. Semoga ALLAH merahmati kita semua,” jelasnya.