Bekas penyerang Itali, Gianluca Vialli meninggal dunia

Gianluca Vialli meninggal dunia pada usia 58 tahun akibat kanser pankreas. - Foto EPA
Gianluca Vialli meninggal dunia pada usia 58 tahun akibat kanser pankreas. - Foto EPA
A
A
A

BEKAS penyerang Itali, Juventus dan Chelsea, Gianluca Vialli meninggal dunia pada usia 58 tahun akibat kanser pankreas, menurut Persekutuan Bola Sepak Itali.

Vialli yang meneruskan kerjaya sebagai pengurus Chelsea, didiagnosis pertama kali menghidap kanser pankreas pada 2017 dan bebas daripada penyakit itu pada 2020 selepas menerima rawatan di Royal Marsden Hospital di London.

Beliau bagaimanapun didiagnosis sekali lagi dengan penyakit itu pada 2021 dan pada bulan lepas meletakkan jawatan sebagai ketua delegasi pasukan kebangsaan Itali, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Persekutuan Bola Sepak Itali berkata, semua perlawanan di bawah persekutuan itu yang diadakan hujung minggu ini akan dimulakan dengan bertafakur seminit sebagai penghormatan kepada Vialli.

Presiden Persekutuan, Gabriele Gravina dalam satu kenyataan berkata: "Gianluca seorang yang hebat dan kehilangannya sukar diganti. Pasukan kebangsaan dan kami semua menghargai jasanya selama ini.” - Bernama

Artikel Berkaitan: