[VIDEO] Netizen serang akaun IG Jay Chou

Antara komen netizen di IG Jay Chou.
Antara komen netizen di IG Jay Chou.
A
A
A

SHAH ALAM- Penyanyi antarabangsa dari Taiwan, Jay Chou menjadi sasaran amarah netizen, apabila akaun Instagramnya diserang netizen Malaysia.

Ia dipercayai akibat rasa tidak puas hati sebilangan peminat bola sepak kerana pemasangan struktur pentas konsertnya di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) menyebabkan ramai peminat bola sepak ‘kempunan’ menyaksikan Separuh Akhir 1 Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 Suzuki 2022 pada Sabtu ini.

Menurut pemilik akaun bernama Nadzirah Yahya, konsert itu menyebabkan 21,000 tempat duduk di stadium berkenaan terpaksa dikosongkan, benar-benar memberikan kesan terhadap penyokong bola sepak negara.

“21,000 bukan sikit mat, pedih-pedih,” katanya dalam ruangan Instagram Jay Chou pada Khamis.

Sementara itu, pengguna bernama Fuad_motorsport pula menyindir bahawa konsert tersebut lebih diutamakan berbanding perlawanan bola sepak yang merupakan acara nasional.

“Sejarah Malaysia membuktikan konsert lebih penting dari bola sepak,” katanya.

Dalam pada itu, individu bernama Hns_hswn menyatakan, terdapat stadium lain yang boleh digunakan bagi mengadakan konsert Jay Chou itu.

“Banyak lagi stadium dekat Malaysia. Pergilah ke Stadium Merdeka ke, Stadium Shah Alam yang sudah sepi itu,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan, hanya 59,000 keping tiket dijual bagi perlawanan melibatkan pasukan Malaysia dan Thailand itu.

Ia susulan 21,000 tempat duduk di SNBJ terpaksa ‘dikosongkan’ bagi kerja-kerja pemasangan struktur pentas konsert artis antarabangsa, Jay Chou yang giat dijalankan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh terdahulu memberitahu, kerja pemasangan berkenaan telah ditempah awal semenjak Mac 2019.

Justeru, beliau berharap peminat bola sepak dapat menerima hakikat mengenai perkara tersebut.