PSG beri masa Neymar pulih

Neymar dalam proses menjalani pemulihan akibat kecederaan buku lali. Foto Agensi
Neymar dalam proses menjalani pemulihan akibat kecederaan buku lali. Foto Agensi
A
A
A

PARIS Saint-Germain (PSG) memberi masa kepada pemain sensasi, Neymar untuk menjalani proses pemulihan selepas mengalami kecederaan buku lali ketika bersama Brazil beraksi dalam saingan Piala Dunia Qatar 2022 hujung tahun lalu.

Pengendali PSG, Christophe Galtier berkata, ketiadaan Neymar dalam sesi latihan pada malam Khamis susulan penyusunan semula program pemulihannya.

Jurulatih itu juga belum terdesak untuk mempertaruhkan khidmat Neymar apabila menegaskan pemain berusia 31 tahun itu tidak akan terlibat dalam perlawanan terdekat ini.

“Ketiadaan Neymar dalam latihan kerana penjadualan semula sesi pemulihannya. Malah ia turut melibatkan semua pemain yang beraksi dalam Piala Dunia,” ujar Galtier.

Beliau menambah, kakitangan perubatan giat memantau keadaan kecergasan mereka selepas menamatkan saingan di Qatar Disember lalu.

“Keadaan mereka sedang dinilai oleh kakitangan perubatan dan pasukan prestasi kami.

“Kami sepakat memutuskan bahawa Neymar, berikutan masalah buku lali yang membelenggunya, dia memerlukan masa untuk pulih,” katanya.

Neymar mengalami kecederaan buku lali dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia ketika Brazil menentang Serbia dan dia terlepas dua perlawanan terakhir di peringkat kumpulan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, dia kembali mencetak gol untuk skuad Selecao dalam kedua-dua perlawanan kalah mati sebelum terkandas dalam suku akhir kepada Croatia.

Neymar kembali ke PSG dan diturunkan dalam perlawanan Ligue 1 ketika menentang Strasbourg, sebaliknya dia dilayangkan kad kuning kedua atas kesalahan simulasi pada minit ke-62 sebelum sepakan penalti lewat Kylian Mbappe memastikan kemenangan 2-1.

Ekoran kesalahan itu, Neymar perlu menjalani penggantungan ketika PSG tewas 1-3 kepada Lens hujung minggu lalu, yang merupakan kekalahan pertama mereka musim ini.