Thailand lega SNBJ tak penuh

Polking (kiri) dan Sasalak Haiprakhon dalam sidang akhbar pra perlawanan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Jumaat.
Polking (kiri) dan Sasalak Haiprakhon dalam sidang akhbar pra perlawanan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Jumaat.
A
A
A

PENGENDALI Thailand, Alexandre Polking mengakui lega apabila Stadium Nasional, Bukit Jalil (SNBJ) tidak akan mencapai kapasiti penuh 80,000 penyokong Harimau Malaya pada aksi separuh akhir pertama Piala AFF 2022 pada Sabtu ini.

Ia selepas sebanyak 21,000 tempat duduk di dalam Stadium Nasional itu terpaksa dikorbankan untuk persediaan konsert artis Taiwan, Jay Chou yang bakal diadakan pada 15 Januari ini.

"Saya rasa kami agak bertuah kerana konsert tersebut akan mengurangkan jumlah penyokong (Malaysia) sebanyak 20,000 orang. Kami gembira dengan perkara itu," katanya dalam sidang akhbar praperlawanan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Jumaat.

Bagaimanapun, Polking tetap meramalkan tugas sukar bakal dihadapi pasukannya di stadium keramat Harimau Malaya itu sekali gus menuntut aksi terbaik dipamerkan para pemainnya.

Malah, dia menyifatkan kekuatan mental pemain menjadi keutamaan untuk digarap sebaik mungkin menjelang aksi penuh getir itu.

"Untuk berada dalam peringkat ini, ia lebih kepada kekuatan mental dan strategi yang betul.

"Jika kami fokus, apa juga yang berlaku dalam perlawanan itu seperti lawan mendapat sokongan padu daripada penyokong, kami tetap mampu memberikan persembahan yang baik dan menghentikan mereka," katanya.

Polking juga menegaskan pasukannya tidak akan hanya sekadar bertahan walaupun sedar mereka boleh menentukan perlawanan pada aksi timbal balik di Stadium Thammasat nanti.

Artikel Berkaitan:

"Jelas bahawa kami tidak datang ke sini untuk bertahan. Ia bermakna kami akan cuba mendapatkan bola, mengawal perlawanan dan mengatasi tekanan," katanya.

Dalam pada itu, pemain pertahanan Thailand, Sasalak Haiprakhon menjelaskan pasukan Gajah Perang itu sudah bersedia untuk memperagakan aksi terbaik menentang Malaysia.

"Satu perlawanan yang sukar dan Malaysia ada penyokong yang bagus. Namun, kami telah mendapat rehat yang cukup dan persiapan yang rapi. Semua pemain yakin dan bersedia untuk perlawanan esok," katanya.