Pejuang Selangor bawa usul kerjasama parti lain hadapi PRN

Harumaini
Harumaini
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Selangor akan membawa usul untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik lain sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ketuanya, Harumaini Omar berkata, usul itu akan dibentangkan Pejuang Selangor pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) parti itu yang diadakan di sebuah hotel di Serdang pada 14 Januari ini.

"Pejuang Selangor sudah bincang usul ini dalam mesyuarat di peringkat negeri dan sebarang ketetapan dan keputusan pucuk pimpinan akan menjadi garis panduan serta hala tuju Pejuang pada masa akan datang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Ditanya tentang peluang kerjasama dengan parti lain, Harumaini menjelaskan, Pejuang terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti lain.

Bagaimanapun, katanya, pada masa ini, Pejuang Selangor melihat peluang kolaboratif bersama BN dan Pakatan Harapan (PH) lebih ke depan.

"Jika kita ke arah BN, nampak lebih ada ruang lebih-lebih dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan dan mungkin ia juga dapat dilaksanakan di Selangor.

"Kita juga tidak menafikan kerjasama boleh dijalin dengan Perikatan Nasional (PN) sebab pernah bersama dengan mereka semasa dalam Bersatu.

"Ramai rakan kita dalam Bersatu asalkan dapat membuang ego untuk kepentingan individu selain sama-sama melihat kepada matlamat perjuangan sebenar," jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, ujar beliau, Pejuang Selangor tetap akur sekiranya kepimpinan tertinggi parti berpendirian masih bergerak secara solo sekiranya sebarang kemungkinan dicadangkan tidak dapat dicapai.

"Kita dapat lihat walaupun Pejuang kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, tetapi momentum kecenderungan untuk menyokong parti ini tetap ada," tambahnya.

Ikuti perkembangan semasa mengenai politik negara di sini!