[VIDEO] Najib fail petisyen kepada PBB

 Muhammad Shafee Abdullah ketika sidang media mengenai perkembangan semasa kes membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis.
Muhammad Shafee Abdullah ketika sidang media mengenai perkembangan semasa kes membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis memfailkan petisyen kepada Kumpulan Kerja Penahanan Arbitrari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWGAD) untuk memohon pembebasan atau perbicaraan semula berhubung rayuan kesnya di Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lalu.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, bekas Perdana Menteri itu memohon lima pakar keadilan antarabangsa untuk memutuskan bahawa penolakan rayuannya adalah tidak adil dan melanggar hak asasi manusia dan Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, prosiding Mahkamah Persekutuan juga gagal memberi peluang kepada Najib untuk berhujah sewaktu rayuannya terhadap hukuman penjara 12 tahun.

"Pada dasarnya, Najib dihantar ke penjara tanpa diberi peluang membela diri di Mahkamah Persekutuan.

“Beberapa hari terakhir sebelum rayuan pada Ogos lalu membawa kepada ‘keadilan tergesa-gesa’ apabila peguam baharu dilantik (Datuk Mohd Zaid Ibrahim) tidak diberikan masa yang mencukupi untuk membaca berpuluh ribu muka surat dokumen rayuan atau untuk melihat 94 alasan rayuan yang difailkan peguam sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media mengenai perkembangan semasa kes membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak di pejabatnya di sini pada Khamis.

Sebelum ini, Najib gagal dalam rayuan terakhirnya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd.

Ujar Muhammad Shafee, UNWGAD yang bakal meneliti rayuan itu terdiri daripada lima hakim hak asasi manusia yang terkenal.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, panel hakim yang dilantik tidak akan dipanggil untuk memutuskan sama ada Najib bersalah atau tidak, sebaliknya bagi menentukan keadilan perbicaraannya.

“Jika tidak adil, Najib boleh meminta kerajaan untuk membebaskannya atau memberi perbicaraan semula.

"Walaupun keputusan ini tidak terjejas secara langsung, ia sangat memberi kesan berikutan Malaysia mempunyai ahli perundangan yang terkenal dan kini menjadi ahli kumpulan kerja berkaitan,” jelas beliau.

Muhammad Shafee menambah, beberapa penyokong kuat UNWGAD termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kepada Universiti Cambridge bahawa pandangan kumpulan itu penting dalam perjalanan untuk mendapatkan kebebasan.

“Najib menyuarakan harapan dan keyakinan bahawa kerajaan sedia ada akan mengikut keputusan UNWGAD,” katanya.

Kata beliau, maklum balas daripada UNWGAD dijangka diterima dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

"Saya pasti apabila UNWGAD menerima petisyen tersebut, mereka akan terus proses, kita hantar semua dokumen berkaitan.

“Petisyen ini kemudian akan dihantar kepada kerajaan Malaysia menerusi Wisma Putra, bukan tugas kita untuk menghantar petisyen itu kepada kerajaan Malaysia,” katanya.

katanya.