Agong titah bantu aspek pendidikan pelajar

Al-Sultan Abdullah berkenan bertitah pada Majlis Pelancaran Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT) di sini, pada Khamis. - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah berkenan bertitah pada Majlis Pelancaran Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT) di sini, pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, agar semua universiti di Malaysia sama ada awam atau swasta, memainkan peranan untuk membantu aspek pendidikan pelajar masing-masing.

Baginda bertitah perkara itu jika diusahakan dengan sebaik mungkin dapat memberi peluang kepada pelajar untuk menyumbangkan khidmat mereka kepada negara pada masa akan datang.

"Beta dimaklumkan ada 75 universiti di seluruh negara, baik yang kerajaan mahupun swasta. Beta berharap semua universiti ini dapat main peranan untuk menentukan perjalanan penuntut-penuntut ini diusahakan dengan sebaik mungkin.

"Mudah-mudahan mereka akan menjadi penuntut yang dapat memberi sumbangan besar kepada negara pada masa akan datang,” titah Al-Sultan Abdullah pada majlis pelancaran Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) di sini pada Khamis.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat ke majlis pelancaran itu. Hadir sama, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pendidikan TARC, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Sempena majlis itu, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan perasaan bangga terhadap laporan yang dibentangkan oleh Ka Siong mengenai kejayaan universiti berkenaan melahirkan lebih 300,000 alumni serta menempatkan lebih 29,000 pelajar di semua kampusnya di seluruh negara ketika ini.

"Beta mengucapkan tahniah kepada semua ahli lembaga amanah dan pengelola yang telah memberi banyak tunjuk ajar dan keputusan-keputusan yang telah membawa kejayaan kepada universiti ini.

"Tidak lupa juga kepada semua warga TAR UMT kerana telah memainkan peranan yang begitu besar bagi mendidik penuntut-penuntut di sini dan sekali lagi Beta dan Raja Permaisuri mengucapkan tahniah dan syabas,” titah Seri Paduka.

Artikel Berkaitan:

Kolej TAR diluluskan penubuhannya pada 1968 oleh Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, dan ditubuhkan secara rasmi pada 1969 dengan bekas Presiden MCA mendiang Tun Tan Siew Sin sebagai tokoh penting yang mencetuskan penubuhan institusi pendidikan itu.

Pada 2012, Kolej TAR dinaik taraf kepada kolej universiti dan dinamakan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC) dan pada 7 November 2022, TAR UMT menerima sijil pendaftaran daripada Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT). - Bernama