Tadika JAIM kekal yuran RM30 sebulan

Tadika JAIM terus mendapat sambutan daripada ibu bapa. (Gambar kecil: Che Sukri)
Tadika JAIM terus mendapat sambutan daripada ibu bapa. (Gambar kecil: Che Sukri)
A
A
A

MELAKA - Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) belum bercadang untuk menaikkan yuran bulanan Tadika JAIM yang kini berjumlah RM30 sebulan pada tahun ini.

Pengarahnya, Datuk Che Sukri Che Mat, berkata, pihaknya ketika ini memberi fokus kepada pembangunan dan kemajuan kanak-kanak berusia lima dan enam tahun yang mendapat pendidikan awal di seluruh tadika JAIM.

"Ia sekali gus membantu terutama ibu bapa berpendapatan rendah B40 mendaftarkan anak mereka di sekolah tadika yang memberi fokus pendidikan agama dengan yuran bulanan berpatutan.

"Tadika JAIM terus mendapat sambutan bukan sahaja kerana mengguna pakai kurikulum standard, namun yuran yang dikenakan tidak mencecah ratusan ringgit jika dibandingkan yuran tadika swasta," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Che Sukri berkata, terdapat cadangan untuk menambah bilangan Tadika JAIM yang setakat ini berjumlah 71 buah di negeri ini.

"Namun kita memberi tumpuan kepada menambah baik prasarana atau membaik pulih Tadika JAIM yang kelihatan uzur seperti di Tadika JAIM Serkam, Jasin," katanya.

Jelasnya, kali terakhir yuran tersebut dinaikkan sebanyak RM5 pada tahun 2019, daripada RM25 kepada RM30 dan bayaran itu kekal hingga sekarang.

"Bagi kelas besar boleh memuatkan sehingga 25 murid manakala bagi kelas kecil hanya boleh memuatkan seramai lapan hingga 10 murid," katanya.

Artikel Berkaitan: