Diogo kembali bersama Harimau Selatan

Diogo
Diogo
A
A
A

PENYERANG dari Brazil, Diogo Luis Santo kembali menyarung jersi Johor Darul Ta’zim (JDT) menghadapi cabaran musim baharu.

Perkara itu 'dibayangkan' Harimau Selatan menerusi video pendek yang dimuat naik menerusi Facebook rasmi Johor Southern Tigers, pada Rabu.

Menerusi video berdurasi 51 saat itu, pemain berusia 35 tahun berkenaan dilihat menaiki limosin dan memasuki Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Beliau yang memakai kot dengan lencana Kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) juga dilihat duduk di bilik persalinan di bawah jersi bernombor 11 yang turut tertulis nama Diogo.

Sebelum ini, Diogo pernah bersama Juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu pada musim 2019 dan 2020 dengan 32 penampilan dan 16 jaringan.

Bagaimanapun, Diogo tidak menyambung kontraknya pada penghujung 2020 dan menyertai kelab Thailand, BG Pathum United.

Pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum ini dipetik sebagai berkata, kelab itu merancang untuk membawa masuk seorang penyerang dari Brazil dan dua pemain Sepanyol bagi memantapkan pasukan itu bagi musim 2023.

Sementara itu, pemain dan barisan kejurulatihan JDT akan kembali melapor diri untuk pramusim mulai Ahad ini dan akan ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu bagi perlawanan persahabatan pramusim.

Artikel Berkaitan:

JDT akan menghadapi lima perlawanan persahabatan bermula 28 Januari hingga 6 Februari ini. - Bernama


JADUAL AKSI PRAMUSIM JDT


25 Januari

JDT lwn FC Rostov

28 Januari

JDT lwn TBC (Kelab UAE)

31 Januari

JDT lwn FC Levski Sofia

2 Februari

JDT lwn FC Lokomotiv Moscow

6 Februari

JDT lwn FC Zenit St. Petersburg