Tak minat ke sekolah, pilih jadi 'rider'

Khairudin (tengah) bersama-sama pengetua-pengetua sekolah di daerah Kinta Utara dan Kinta Selatan ketika Program Bual Bicara Bersama Pengetua Sekolah Menengah Negeri Perak di Dewan Serbaguna, Bangunan Perak Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.
Khairudin (tengah) bersama-sama pengetua-pengetua sekolah di daerah Kinta Utara dan Kinta Selatan ketika Program Bual Bicara Bersama Pengetua Sekolah Menengah Negeri Perak di Dewan Serbaguna, Bangunan Perak Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Beberapa calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di beberapa sekolah di negeri ini dikenal pasti tidak lagi berminat untuk ke sekolah kerana beberapa faktor termasuk membuat kerja sambilan.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan, Khairudin Abu Hanipah Perak berkata, biarpun kes berkenaan tidak serius dan terpencil, pihaknya tetap memberikan perhatian serius kerana ia boleh menjejaskan pencapaian SPM di peringkat sekolah dan negeri.

Menurutnya, pelajar-pelajar ini memilih untuk bekerja seperti penghantar makanan berbanding ke sekolah disebabkan pendapatan yang lumayan dan hanya sekadar mahu mendapatkan Sijil Berhenti Sekolah berbanding SPM.

"Calon itu sendiri kurang berminat atas faktor penarik di luar sebagai contoh peluang pekerjaan, mencari pendapatan sendiri dan faktor daripada keluarga juga memainkan peranan supaya anak ini pergi ke sekolah dan melaksanakan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh sekolah.

"Tetapi ada keluarga apabila pihak sekolah cuba berhubung, cuba bersama, mereka tidak memberikan kerjasama yang cukup baik dan ini menyebabkan sekolah sukar untuk memujuk untuk memastikan pelajar ini hadir ke sekolah," katanya kepada pemberita selepas Program Bual Bicara Bersama Pengetua Sekolah Menengah Negeri Perak di Dewan Serbaguna, Bangunan Perak Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Khairudin berkata, bagi mengatasi isu berkenaan, pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sudah melaksanakan beberapa program khusus untuk menarik minat pelajar hadir ke sekolah.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya bersama-sama JPN Perak akan melaksanakan Program Bual Bicara Bersama Pengetua Sekolah Menengah Negeri Perak dalam empat siri menjelang peperiksaan SPM yang akan berlangsung pada Februari nanti.

Jelasnya, program tersebut memberi tumpuan kepada pelan kontigensi sekolah-sekolah menengah dalam menghadapi fasa akhir persiapan SPM 2022.

Artikel Berkaitan:

"Dengan adanya bual bicara ini, saya dapat mengetahui, mengenalpasti permasalahan dan isu-isu yang mungkin pihak sekolah kemukakan untuk tindakan pihak saya, JPN, PPD bagi memastikan kemenjadian pelajar itu berjaya dicapai dengan matlamat supaya prestasi SPM negeri Perak pada tahun 2022 akan lebih baik jika dibandingkan dengan tahun 2021.

"Kita nak fokus kepada dua perkara, pertama, kualiti calon yang mendapat semua A bagi SPM 2022 di negeri Perak dan juga kualiti pencapaian lulus bagi subjek wajib lulus iaitu Sejarah dan Bahasa Melayu untuk kita mencapai ke tahap 90 peratus lulus ataupun layak dapat sijil SPM bagi pelajar-pelajar di negeri Perak ini," katanya.