1,001 manfaat teh hijau

Mempunyai pelbagai khasiat, bagus untuk tubuh badan

No Image Caption
A
A
A

ANDA minum apa hari ini? Jujur pada diri sendiri. Minuman yang anda pilih merosakkan atau memberi kebaikan pada diri?

Jika anda perlukan minuman yang kaya dengan antioksidan dan zat makanan yang mempunyai manfaat yang sangat bagus pada tubuh, Perunding Kesihatan D'Jue Wellnes, Dr Siti Juariah Kusni ada jawapannya.

Dr Siti Juariah berkata, teh hijau merupakan antara minuman paling berkhasiat dalam planet ini.

Menurutnya, kebaikan teh hijau bukan sahaja menambah fungsi otak malah membantu membakar lemak, menurunkan risiko kanser dan banyak lagi.

Demikian 10 huraian khasiat teh hijau yang telah dibuktikan melalui kajian saintifik yang dikongsikan Dr Siti Juariah:

1 Mengandungi kompaun bioaktif

Teh hijau bukan setakat cecair berwarna hijau biasa! Terdapat banyak kompaun bioaktif dalam daun teh yang membawa kepada minuman yang mempunyai banyak kandungan zat penting makanan.

Teh hijau mengandungi banyak polyphenol seperti flavonoids dan catechins yang berfungsi sebagai antioksidan yang kuat.

Artikel Berkaitan:

Bahan tersebut boleh mengurangkan pembentukan radikal bebas dalam badan, melindungi sel-sel dan molekul daripada dirosakkan oleh radikal bebas.

Radikal bebas bertanggungjawab dalam proses penuaan badan dan menjadi seseorang awet muda.

Salah satu kompaun lain dalam teh hijau ialah epigallacatechin gallate (EGCG) yang mana kajian menunjukkan bahan ini melindungi badan daripada pelbagai penyakit.

No Image Caption

2 Memperbaiki fungsi otak

Teh hijau bukan sahaja membuatkan anda celik, malah lebih bijak.

Bahan yang menjadikan anda cergas adalah perangsang semula jadi dalam teh hijau iaitu kafein.

Kandungan kafein dalam teh hijau tidaklah setinggi kafein dalam kopi. Bagaimanapun, ia sudah mencukupi dan tidak menyebabkan ketagihan seperti minum kopi.

Apa yang kafein lakukan adalah menghalang pengeluaran adenosine iaitu neutotransmitter pembantut. Cara ini meningkatkan aktiviti neuron dan juga neurotransmitter perangsang iaitu dopamin dan norepinaphrine.

Kajian terhadap kafein menunjukkan ia boleh mengawal mood, kelakuan, tindakan pada masa dan ingatan.

Teh hijau juga mengandungi L-theanine yang boleh sampai ke otak, mengurangkan stres dan kebimbangan.

Kombinasi rendah kafein dan L-theanine meningkatkan fungsi otak. Ramai juga yang berasa lebih bertenaga dan produktif selepas minum teh hijau.

3 Pembakaran lemak badan, kecergasan fizikal

Minum secawan teh hijau tanpa gula setiap hari lebih baik.
Minum secawan teh hijau tanpa gula setiap hari lebih baik.

Banyak suplemen pembakar lemak menambah teh hijau di dalamnya. Ini adalah kerana kajian terhadap manusia menunjukkan teh hijau boleh meningkatkan pembakaran lemak dan kadar metabolisme badan.

Kajian terhadap 10 lelaki aktif menunjukkan teh hijau menaikkan tenaga sebanyak empat peratus. Ia juga meningkatkan kadar pembakaran lemak sebanyak 17 peratus (kesan ini bergantung pada individu).

4 Antioksidan mengurangkan risiko beberapa kanser

Teh hijau adalah sumber antioksidan yang tinggi, justeru, membantu mengurangkan beberapa jenis kanser seperti:

Kanser payudara: Kajian daripada meta-analysis menunjukkan wanita yang minum teh hijau mempunyai risiko kanser payudara 22 peratus rendah wanita lain.

Kanser kelenjar prostat: Satu kajian mendapati lelaki yang kerap minum teh hijau mendapat kanser prostat kurang 48 peratus berbanding lelaki lain.

Kanser usus: Kajian terhadap 69,719 wanita China yang minum teh hijau mendapati mereka kurang mendapat kanser usus sebanyak 57 peratus.

5 Kurangkan risiko nyanyuk, parkinson

Banyak kajian di makmal dan pada haiwan menunjukkan kompaun catechins dalam teh hijau mempunyai kesan menjaga otak dan mengurangkan risiko penyakit nyanyuk dan parkinson.

6 Membunuh kuman

Catechines dalam teh hijau juga mempunyai kesan biologikal. Kajian menunjukkan ia boleh membunuh bakteria, menghalang virus daripada membiak seperti virus influenza juga mengurangkan risiko jangkitan kuman.

Kajian mendapati catechins menghalang pembiakan mutan bakteria sterptococcus yang selalunya menyebabkan kerosakan gigi. Ia juga mengurangkan bau mulut!

7 Kurangkan risiko kencing manis

Kajian menunjukkan teh hijau menurunkan sensitiviti insulin dan paras gula dalam darah. Satu kajian di Jepun mendapati mereka yang minum teh hijau mempunyai risiko kurang mendapat kencing manis sebanyak 42 peratus.

8 Kurangkan risiko penyakit jantung

Teh hijau boleh mengurangkan kolestrol dan triglycerides peminum. Ini boleh menurunkan risiko penyakit jantung.

Ia juga meningkatkan keupayaan antioksidan darah. Ini membantu melindungi partikel LDL kolesterol daripada proses pengoksidanan yang membawa kepada sakit jantung.

Kesan tersebut berupaya membantu peminum teh hijau daripada bahaya sakit jantung sebanyak 31 peratus.

9 Bantu kurus

Teh hijau meningkatkan kadar metabolisme badan yang membantu untuk kurus. Beberapa kajian menunjukkan teh hijau menurunkan lemak badan terutamanya pada bahagian perut.

10 Panjang umur

Kajian terhadap 40,539 orang dewasa di Jepun menunjukkan mereka yang minum teh hijau lima cawan sehari mempunyai umur yang lebih panjang daripada mereka yang tidak minum teh hijau.

Saranan Dr Siti Juariah, jaga diet dan minum teh hijau tanpa gula sebagai minuman utama setiap hari untuk kesihatan optimum.

"Namun diingatkan bahawa minum teh hijau bercampur susu boleh mengurangkan kesan antioksidan teh hijau," katanya.

*Artikel Sempena HARI TEH SEDUNIA 2019



PROFIL Dr Siti Juariah Kusni

Mempunyai sijil dalam bidang perubatan antipenuaan Indomedicon di Mumbai, India dan Sijil Perubatan Wellness dari Thompson River University, Kanada. Kepakaran beliau adalah memberi bimbingan kembali sihat tanpa ubat, khususnya buat pesakit autoimun dan kencing manis.

Dr Jue
Dr Jue