Lokman Bah Din, orang asli pertama sertai Sri Pahang

Lokman, orang asli pertama beraksi bersama Sri Pahang FC menjalani latihan bersama skuad tersebut. - Foto Bayu
Lokman, orang asli pertama beraksi bersama Sri Pahang FC menjalani latihan bersama skuad tersebut. - Foto Bayu
A
A
A

[DIKEMAS KINI] MENTERI Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berbangga dengan penyertaan pemain orang asli dari negeri itu yang menyarung jersi Sri Pahang FC pada musim ini.

Pemain terbabit, Lokman Bah Din, 20, antara yang diumumkan secara rasmi menyertai pasukan tersebut untuk musim 2023 sekali gus melakar sejarah pemain pertama orang asli menyertai skuad Sri Pahang FC.

"Ini berita baik yang sekian lama kita tunggu-tunggu, akhirnya menjadi realiti apabila dikhabarkan Lokman Bah Din telah terpilih untuk bersama skuad Sri Pahang FC pada musim ini.

"Lokman Bah Din adalah anak muda orang asli yang baru berusia 20 tahun, berasal dari kawasan saya, Kampung Simoi Baru, Pos Betau, Lipis.

"Saya amat berbangga mendengar khabar adanya anak muda orang asli yang seberani Lokman Bah Din ini dalam menyahut cabaran dalam pelbagai bidang, baik akademik, pentadbiran maupun sukan. Tahniah, dan selamat maju jaya saya ucapkan kepada beliau," katanya dalam laman Facebook miliknya pada Selasa.

Jelas Wan Rosdy, beliau yakin pemilihan Lokman ke dalam skuad Sri Pahang FC akan membuka mata lebih ramai lagi anak-anak orang asli untuk sama bergiat aktif dalam bidang sukan di tanah air ini.

"Diharapkan dengan kehadiran Lokman akan memberikan impak tertentu ke dalam skuad Sri Pahang FC, serta berupaya mencipta kejayaan demi kejayaan dalam mengharungi saingan Liga Super Malaysia musim ini. Hogoh Pahang Hogoh," tambah beliau lagi.

Dalam laman sosial Facebook Sri Pahang FC pada Selasa, pemain itu diumumkan sebagai rekrut terbaharu menyertai Tok Gajah musim ini dan pernah bersama skuad Piala Belia Pahang sebelum menimba pengalaman bersama skuad Projek FAM-MSN pada tahun lalu.

Artikel Berkaitan: