Harimau Malaya baham Singapura, layak ke separuh akhir

Pasukan negara berjaya menempah tiket separuh akhir selepas menewaskan Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa. - Foto FB FAM
Pasukan negara berjaya menempah tiket separuh akhir selepas menewaskan Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa. - Foto FB FAM
A
A
A

HARIMAU Malaya mengotakan janji untuk mara ke separuh akhir selepas menewaskan Singapura 4-1 dalam aksi terakhir Kumpulan B Piala AFF 2022 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa.

Menggalas misi wajib menang, Malaysia bermula garang pada separuh masa pertama perlawanan apabila berjaya menguasai bola, memaksa pemain Singapura lebih banyak berkampung di kawasan sendiri.

Peluang skuad negara muncul seawal minit kelapan apabila Faisal Halim menyambut hantaran Safawi Rasid, namun rembatannya ditampan Hassan Sunny sebelum percubaan susulan daripada Ruventhiran turut diselamatkan penjaga gol Singapura itu.

Dipadu sorakan lebih 65,000 penyokong setia, Harimau Malaya terus menggandakan asakan melalui sepakan penjuru Safawi yang ditanduk Faisal, namun percubaanya melewati palang gol.

Skuad The Lions yang hanya sesekali berjaya masuk ke kawasan Malaysia mencetuskan cemas buat pertahanan negara menerusi rembatan Song Uiyoung pada minit ke-26 yang tersasar ke sebelah kanan gawang dikawal Ahmad Syihan Hazmi.

Jaringan yang ditunggu Harimau Malaya akhirnya tiba apabila Darren Lok menanduk kemas hantaran lintang Safawi pada minit ke-35 untuk menggegarkan Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Bersambung separuh masa kedua, skuad kendalian Kim Pan-gon tidak mengendurkan asakan sebaliknya terus mengatur serangan ke kubu pasukan Seberang Tambak itu.

Harimau Malaya mengukuhkan kedudukan menerusi gol kedua pada minit ke-51 menerusi Stuart Wilkin yang merembat deras dari luar kotak penalti untuk menewaskan Hassan.

Artikel Berkaitan:

Bagaikan tidak puas, Wilkin sekali lagi bertindak cemerlang menerima hantaran Safawi sebelum dia berpusing dan melepaskan ledakan jaringan pada minit ke-54.

Singapura cuba bangkit pada lima minit terakhir perlawanan menerusi gol pemain gantian, Faris Ramli pada minit ke-85.

Dalam keghairahan Singapura menyerang, Harimau Malaya hadir dengan serangan balas pantas yang menyaksikan Sergio Aguero menjaringkan gol keempat negara pada minit ke-88.

Pasukan negara akan berdepan Thailand di peringkat separuh akhir yang diadakan secara timbal balik pada 7 dan 10 Januari ini.

Manakala, satu lagi aksi separuh akhir akan menemukan juara kumpulan B, Vietnam yang akan berhadapan naib juara kumpulan A, Indonesia.