Calon PSB kemuka petisyen bantah kemenangan GPS di Lubok Antu

Dr Johnichal Rayong Ngipa
Dr Johnichal Rayong Ngipa
A
A
A

KUCHING - Calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) bagi Parlimen Lubok Antu Dr Johnichal Rayong Ngipa yang kalah tipis pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan itu.

Petisyen itu difailkan oleh firma guaman yang mewakili Dr Rayong di Mahkamah Tinggi di sini petang Selasa.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, peguam Clement Wong berkata, terdapat tiga alasan untuk mereka memfailkan petisyen tersebut antaranya wujud rasuah am dan ketidakpatuhan terhadap peruntukan undang-undang bertulis di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

"Kegagalan untuk melakukan kiraan semula (oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya) adalah terjumlah kepada ketidakpatuhan (terhadap peruntukan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya). Kami akan memberikan (butiran mengenai) alasan lain apabila tiba masanya,” kata beliau.

Pada 23 November tahun lepas, Dr Rayong memaklumkan sidang media di sini bahawa permintaan beliau untuk kiraan semula telah ditolak oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya tanpa sebarang alasan yang sebaliknya mengisytiharkan Roy Angau Gingkoi daripada Gabungan Parti Sarawak sebagai pemenang dengan majoriti 100 undi.

Pada PRU15, Dr Rayong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, berdepan pertandingan empat penjuru di Parlimen Lubok Antu dan meraih 6,544 undi berbanding 6,644 yang diperoleh Roy Angau.

Dua lagi calon yang bertanding di kawasan itu ialah Jugah Muyang daripada PN-Bersatu yang mendapat 5,360 undi dan Langga Lias (PH-PKR) dengan 746 undi. - Bernama.

Artikel Berkaitan: