Penyaluran peruntukan khas Bernas berperingkat

Penyaluran peruntukan khas Bernas berjumlah RM10 juta bagi tahun 2022 dilaksanakan secara berperingkat kepada tiga negeri di Pantai Timur terlebih dahulu. - Gambar hiasan
Penyaluran peruntukan khas Bernas berjumlah RM10 juta bagi tahun 2022 dilaksanakan secara berperingkat kepada tiga negeri di Pantai Timur terlebih dahulu. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) menjelaskan penyaluran peruntukan khas daripada Padiberas Nasional Berhad (Bernas) berjumlah RM10 juta bagi tahun 2022 dilaksanakan secara berperingkat kepada tiga negeri di Pantai Timur terlebih dahulu iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang melibatkan seramai 20,598 pesawah.

Kementerian itu dalam satu kenyataan berkata, pesawah dari negeri lain akan menerima bantuan khas ini apabila baki berjumlah RM50 juta disalurkan bermula awal tahun 2023.

"Dianggarkan seramai 240,000 pesawah di seluruh negara akan menerima manfaat daripada sumbangan Bernas yang secara keseluruhan berjumlah RM60 juta.

"Bantuan ini merupakan insentif khas kerajaan kepada pesawah oleh Bernas dalam membantu meringankan kos sara hidup pesawah selain manfaat sedia ada yang disediakan kerajaan dalam bentuk subsidi," katanya pada Selasa.

Sebelum ini, Menteri MAFS, Mohamad Sabu mengumumkan bahawa bantuan khas daripada Bernas berjumlah RM10 juta bagi tahun 2022 akan disalurkan secara berperingkat kepada pesawah berjumlah RM250 bagi setiap orang.

Tambah kementerian, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) selaku agensi pembayar sedang mengenal pasti dan menyemak senarai pesawah yang layak berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi memastikan proses penyaluran bantuan khas ini berjalan lancar.

Menurutnya, pihak kementerian sentiasa peka dan prihatin dengan kebajikan golongan petani, penternak dan nelayan selain turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan serta inisiatif kepada golongan sasar.

Artikel Berkaitan: