Luka Harimau Malaya sudah pulih

Harimau Malaya sedia memperagakan aksi terbaik sekali gus mencatat kemenangan ke atas Singapura.
Harimau Malaya sedia memperagakan aksi terbaik sekali gus mencatat kemenangan ke atas Singapura.
A
A
A

HARIMAU Malaya berada pada tahap terbaik untuk melakar kemenangan ke atas Singapura dalam aksi terakhir Kumpulan B Piala AFF di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa ini.

Pemain tengah Harimau Malaya Mukhairi Ajmal berkata, semua pemain Harimau Malaya sudah melupakan episod kekecewaan selepas tewas 0-3 kepada Vietnam.

Menurutnya, mentaliti pemain juga sudah pulih dan yakin insiden keputusan kontroversi pengadil, Ryuji Sato dalam perlawanan di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi Selasa lalu tidak terus menghantui pasukan.

"Semua pemain dah move on. Selepas game memang agak sedih, tetapi itulah bola sepak ada kalah atau menang. Tetapi, sudah tentu kita nak fokus untuk perlawanan menentang Singapura.

"Mentaliti pemain juga semua ok. Semua pemain juga dah bersemangat dan kita perlu pastikan kemenangan untuk layak ke separuh akhir," katanya.

Skuad negara ketika ini berada di kedudukan ketiga Kumpulan B dengan enam mata dibezakan satu mata dengan Singapura di kedudukan kedua dan pendahulu kumpulan, Vietnam.

Dalam pada itu, Mukhairi turut mengingatkan rakan sepasukan untuk berhati-hati dengan Singapura yang turut menjadi antara pasukan terkuat dalam Kumpulan B.

Dalam masa sama, tonggak penting Selangor FC itu juga menanam tekad untuk cuba merobek gawang Singapura dalam perlawanan terakhir itu nanti.

Artikel Berkaitan:

"Saya rasa apa yang lebih penting ialah kita perlu berhati-hati dan ambil peluang ini sebaik mungkin untuk layak ke separuh akhir.

"Untuk menjaringkan gol pula, saya rasa semua pemain boleh jaringkan gol. Mungkin peluang saya nak jaringkan gol itu ada, cuma tak masuk lagi.

"Kalau lawan Singapura ini ada peluang lagi untuk saya, saya akan cuba jaringkan gol," katanya.