Dera kanak-kanak: KPWKM teliti kenakan hukuman lebih berat

Laporan Sinar Harian mengenai kanak-kanak yang maut akibat didera di Senggarang, Batu Pahat.(Gambar kanan: Nancy)
Laporan Sinar Harian mengenai kanak-kanak yang maut akibat didera di Senggarang, Batu Pahat.(Gambar kanan: Nancy)
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang menambah baik dasar dan pelan tindakan kanak-kanak termasuklah menilai keperluan mengenakan hukuman lebih berat kepada pesalah yang terlibat dalam kes penderaan golongan itu.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, hukuman lebih berat perlu diambil ke atas individu yang bersalah dengan mengambil kira kesan mendalam dialami kanak-kanak yang didera itu.

Jelasnya, kanak-kanak yang didera bukan sahaja mengalami kecederaan fizikal, malah turut menyebabkan implikasi kesihatan mental berpanjangan seperti kemurungan terutamanya melibatkan mangsa kes yang tidak dilaporkan dan kekal tersembunyi.

“Saya amat sedih dan memandang serius terhadap kes membabitkan seorang kanak-kanak lelaki yang dipercayai didera sehingga meninggal dunia di Johor baru-baru ini.

“Saya telah mengarahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk segera menyiasat dan menyediakan laporan dengan lebih terperinci berhubung kronologi, sejarah serta setiap perkembangan kes ini sebaik sahaja mendapat tahu mengenai kejadian tersebut.

“Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sedang menjalankan siasatan terhadap kes ini dan saya memberikan jaminan bahawa KPWKM serta agensi di bawahnya akan memberikan kerjasama penuh dalam siasatan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pada Selasa lalu, Sinar Harian melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun meninggal dunia selepas dipercayai menjadi mangsa dera di Senggarang, Batu Pahat, Johor.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata pihaknya menerima satu laporan polis daripada seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun yang memaklumkan mangsa pengsan di rumahnya dan dibawa ke klinik untuk rawatan pada jam 6.45 petang, Jumaat lalu.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, seramai lima individu berusia 15 hingga 37 tahun ditahan bagi membantu siasatan, termasuk kakak mangsa berusia 19 tahun, suaminya berumur 37 tahun serta rakannya itu.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Nancy berkata, langkah untuk memperkemaskan undang-undang itu dibuat bagi memastikan kes sedemikian tidak berulang, di samping memberi pengajaran kepada ibu bapa atau penjaga cuai dalam memberi jagaan yang terbaik kepada kanak-kanak.

Beliau dalam masa sama turut menggesa orang ramai yang mendapat maklumat mengenai kes penderaan kanak-kanak supaya segera memaklumkan kepada KPWKM melalui Talian Kasih atau menghubungi pihak berkuasa berdekatan dengan segera.

“Saya percaya kita rakyat Malaysia adalah penyayang, prihatin dan lebih baik daripada apa yang terjadi dalam kes seperti ini.

“Bersamalah kita memainkan peranan dalam mencurahkan kasih sayang dan memberi perlindungan sewajarnya kepada kanak-kanak demi kesejahteraan keluarga, keharmonian masyarakat dan kemajuan negara,” katanya.