Wanita parah dipukul dalam kejadian samun

No Image Caption
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang wanita mengalami cedera parah di bahagian muka dipercayai dipukul seorang lelaki dalam kejadian samun di sebuah kedai menjual penapis air di Jelutong di sini, Sabtu lepas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, V Saravanan berkata, mangsa berusia 50-an itu kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang dan masih tidak sedarkan diri kerana kecederaan parah.

"Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, seorang lelaki berusia lingkungan 50-an telah datang ke kedai wanita tersebut dan suspek memaklumkan mahu bertemu dengan suami mangsa namun lelaki (suami mangsa) tiada di kedai ketika itu.

"Sebaik dimaklumkan suami wanita itu tiada, suspek telah bertindak memukul mangsa dipercayai menggunakan senjata tumpul sehingga wanita tersebut cedera parah di bahagian muka sebelum dia menyamun wang tunai sebanyak RM2,000,'' katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki di daerah Timur Laut sehari kemudian, untuk membantu siasatan dan suspek direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, kedai itu tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) dan polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar tampil membantu siasatan kerana setakat ini pihaknya belum dapat merekodkan keterangan mangsa ekoran wanita tersebut masih belum sedar. - Bernama

Artikel Berkaitan: