Bekas kerani didakwa jalankan perniagaan pinjaman tanpa lesen

Seorang bekas kerani mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat.
Seorang bekas kerani mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang bekas kerani mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas satu pertuduhan menjalankan perniagaan pinjaman wang tanpa lesen, bermula April tahun lalu.

Yap Chee Siang, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim M Bakri Abd Majid.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan iaitu memberi pinjaman RM158,120 kepada seorang lelaki berusia 34 tahun, berserta faedah di Bandar Baru Sentul di sini, antara 1 April 2021 sehingga 19 September lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Anisha Jamilludin mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin, serta syarat tambahan iaitu pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Abdul Rahman Zainal Abidin, merayu agar jumlah itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya perlu menanggung keluarga, tiga adik serta nenek.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, M Bakri membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 7 Februari 2023 untuk sebutan kes.

Artikel Berkaitan: