MAIWP peruntuk RM6 juta bantu mangsa banjir Pantai Timur

Mohd Daud (berdiri lima dari kanan) bersama peserta konvoi Misi Bantuan Banjir MAIWP Insani pada majlis pelepasan peserta di Kompleks Darul Kifayah pada Rabu.
Mohd Daud (berdiri lima dari kanan) bersama peserta konvoi Misi Bantuan Banjir MAIWP Insani pada majlis pelepasan peserta di Kompleks Darul Kifayah pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyediakan peruntukan sebanyak RM6 juta bagi Misi Bantuan Banjir MAIWP Insani di negeri Pantai Timur.

Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata, MAIWP cakna dengan musibah banjir berkenaan dan telah meluluskan peruntukan itu bagi meringankan beban mangsa terjejas.

Menurutnya, bantuan kewangan sebanyak RM3 juta akan disalurkan kepada Majlis Agama Islam Negeri untuk diagihkan kepada mangsa banjir di Terengganu, Kelantan dan Pahang.

"Sementara RM2 juta akan digunakan untuk Misi Bantuan Banjir MAIWP Insani dan pembelian barangan sumbangan seperti jug air elektrik, sejadah, kain batik, kain pelikat serta alatan pembersihan.

"Selain itu, RM1 juta lagi akan disalurkan bagi pasca banjir Skuad Musaadah Agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi bakul makanan dan kit solat," katanya pada majlis pelepasan Skuad MAIWP Insani Misi Banjir 2022 di Kompleks Darul Kifayah di sini pada Rabu.

Turut hadir, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd Nizam Yahya serta pengurus- pengurus anak syarikat Milik MAIWP.

Mohd Daud berkata, konvoi misi bantuan banjir MAIWP Insani membabitkan 108 peserta terdiri pegawai MAIWP, anak syarikat MAIWP dan badan bukan kerajaan (NGO).

Ujarnya, mereka akan bergerak ke Kelantan dan Terengganu bermula Rabu hingga Jumaat ini bagi menyampaikan bantuan kelengkapan barangan kepada mangsa banjir.

Artikel Berkaitan:

"Menerusi peruntukan ini, hampir 1,500 mangsa di setiap negeri akan dapat disantuni. Jumlahnya tidak ramai tapi sekurang-kurangnya dapat sama-sama meringankan beban dan membantu kerja pembersihan rumah mangsa terlibat.

"Selain perhatian ditumpukan di tiga negeri (Kelantan, Terengganu, Pahang) yang teruk terjejas banjir, terdapat juga peruntukan disediakan mengikut keperluan di negeri-negeri lain yang ditimpa musibah banjir seperti Selangor, Perak dan Johor," katanya.