'Saya tiada magis pulihkan TRW': Yusri

Yusri akui tidak mempunyai magis untuk memulihkan prestasi Kelantan dengan segera susulan prestasi buruk pasukan itu dalam kempen Liga Premier, musim ini.
Yusri akui tidak mempunyai magis untuk memulihkan prestasi Kelantan dengan segera susulan prestasi buruk pasukan itu dalam kempen Liga Premier, musim ini.
A
A
A

KOTA BHARU – Yusri Che Lah mengakui tidak memiliki magis untuk mengubah nasib The Red Warriors (TRW) dengan segera susulan prestasi buruk pasukan itu dalam saingan Liga Premier biar pun Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) meletakkan harapan tinggi kepadanya.

Ketua jurulatih baharu Kelantan itu sebaliknya berkata, tanggungjawab untuk memulihkan semula reputasi pasukan perlu digalas bersama semua pihak terutama pemain, penyokong dan pengurusan persatuan itu sendiri.

“Saya bukan ada magis atau ada apa-apa cuma dipanggil untuk membantu pasukan dan seharusnya saya perlu menggunakan peluang ini sebaik mungkin.

“Jadi saya mengharapkan pemain memberikan yang terbaik dalam menaikkan semula pasukan dan pada masa sama dapat membantu Kafa sendiri memperbaiki kelemahan sedia ada,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Yusri yang pernah menjadi pemangku jurulatih Kelantan musim lalu memberitahu, dia tidak kisah dengan tekanan malah menggangap ia satu cabaran yang perlu dihadapi seseorang bergelar jurulatih.

“Saya rasa dalam bola sepak, semua jurulatih diajar untuk bersedia menerima tekanan dan saya akui tekanan di Kelantan sememangnya cukup kuat, saya pernah rasainya tahun lalu.

“Kalau dahulu saya ke Kelantan dalam keadaan tidak tahu sepenuhnya perkembangan pasukan itu tetapi kali ini sedikit sebanyak saya telah tahu terutama daripada (prestasi) pemain,” katanya.

Menurut pengendali kelahiran Perlis itu lagi, faktor ‘pemain ke-12’ pasukan itu juga turut menarik minatnya untuk kembali menabur bakti kali kedua selepas meninggalkan Kuala Lumpur, bulan lalu.

Artikel Berkaitan:

“Sejujurnya selain pemain muda yang bersama saya tahun lalu masih kekal, satu lagi sebab adalah kerana penyokong Kelantan. Saya tahu tidak semua daripada mereka menyukai tetapi mereka telah memberikan sepenuh jiwa kepada pasukan.

“Ini yang menyebabkan saya berani untuk ke sana (Kota Bharu),” katanya.