Lelaki bertelekung mencuri dalam masjid didakwa esok

Suspek kes curi barang jemaah wanita di masjid di sekitar Shah Alam akan didakwa di mahkamah pada Khamis.
Suspek kes curi barang jemaah wanita di masjid di sekitar Shah Alam akan didakwa di mahkamah pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang lelaki yang mengenakan pakaian telekung untuk mencuri beg jemaah wanita di dua masjid di daerah ini, minggu lalu akan didakwa di mahkamah pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, siasatan terhadap suspek berusia lingkungan 20-an itu sudah dilengkapkan pihak polis.

"Dua kertas siasatan dibuka dan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

"Pendakwaan ke atas lelaki itu akan dibuat di Mahkamah Majistret Shah Alam pada jam 9 pagi, esok. Ia melibatkan dua pertuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu curi dalam bangunan," katanya pada Rabu.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan perbuatan terkutuk seorang lelaki yang sanggup bertelekung untuk mencuri beg jemaah wanita di dua masjid di daerah ini tumpas apabila dicekup polis pada 23 Disember lalu.

Suspek bertindak mencuri ketika jemaah sedang menunaikan solat di masjid sekitar Seksyen 18 di sini, 20 Disember lalu.

Perbuatan suspek itu turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di masjid terbabit sebelum tular di media sosial.

Artikel Berkaitan: