Polis siasat kes penemuan hiasan ayat al-Quran tepi jalan

Laporan akhbar Sinar Harian berkenaan longgokan hiasan ayat al-Quran yang ditemui di tepi jalan kawasan Perindustrian Arab Malaysian, di sini pada Selasa.
Laporan akhbar Sinar Harian berkenaan longgokan hiasan ayat al-Quran yang ditemui di tepi jalan kawasan Perindustrian Arab Malaysian, di sini pada Selasa.
A
A
A

NILAI - Polis melakukan siasatan lanjut berhubung penemuan longgokan perhiasan dinding yang mengandungi ayat suci al-Quran di kawasan Perindustrian Arab Malaysian, di sini pada Selasa.

Pemangku Ketua Polis Daerah Nilai, Deputi Superintendan Mat Ghani Lateh berkata, polis masih mengesan individu yang terlibat dalam kes itu dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan.

"Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai telah menerima laporan daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) berkenaan penemuan longgokan perhiasan dinding ayat al-Quran itu pada jam 6.45 petang.

"Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis dari cawangan khas ke lokasi kejadian dan menemukan longgokan perhiasan dinding yang mengandungi ayat suci al-Quran dalam bentuk berbingkai dan tidak berbingkai dibuang oleh individu masih belum dikenal pasti," katanya dalam kenyataan media pada Rabu.

Menurutnya, hasil perbincangan dengan JHEAINS dan Majlis Bandaraya Seremban (MBS), longgokan itu telah dikumpulkan dan akan dilupuskan di Pusat Dakwah Islamiah Paroi di Seremban mengikut hukum syarak.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung perkara itu diharap dapat menyalurkannya kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan penemuan longgokan hiasan ayat al-Quran tersebut yang ditemui kira-kira jam 12.15 tengah hari oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan menerusi rondaan berkala dilakukan.

Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah berkata, pihaknya percaya hiasan ayat al-Quran berkenaan dibuang oleh pihak industri dan bukannya individu.

Artikel Berkaitan:

"Jika dilihat pada longgokan hiasan ayat al-Quran ini, ia bukannya dibuang oleh individu kerana saya rasa tiada individu yang menyimpan hiasan ayat-ayat al-Quran sebanyak ini.

"Bagi saya ia tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang mencari jalan mudah untuk melupuskannya dan berdasarkan pemerhatian terdapat sedikit kesilapan pada sebahagian ayat-ayat al-Quran ini," katanya ketika ditemui di lokasi pada Selasa.