Polis Sentul terima 152 laporan palsu

Beh Eng Lai
Beh Eng Lai
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul telah menerima sebanyak 146 laporan palsu berkaitan kejadian jenayah samun dan ragut serta enam laporan palsu berkaitan kehilangan kenderaan pada tahun ini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kebanyakan laporan polis tersebut melibatkan individu yang kehilangan kad pengenalan diri (Mykad) dan individu ingin menuntut pampasan perlindungan insurans kenderaan.

"Hasil siasatan polis, mendapati individu yang membuat laporan palsu tentang kejadian ragut dan samun adalah semata-mata untuk mengelakkan diri mereka daripada dikenakan denda oleh pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Eng Lai berkata, menurut peruntukan JPN seseorang yang kehilangan Mykad untuk kali pertama akan dikenakan denda RM100, kali kedua adalah RM300 manakala kali ketiga dan seterusnya akan didenda sebanyak RM1,000 kecuali kehilangan kad pengenalan itu adalah disebabkan oleh perlakuan jenayah.

"Sementara itu, laporan palsu tentang kehilangan kenderaan pula adalah disebabkan pemilik kenderaan ingin membuat tuntutan palsu daripada syarikat perlindungan insurans namun pada hakikatnya kenderaan tersebut tidak hilang.

"Siasatan mendapati terdapat beberapa punca yang menyebabkan pemilik kenderaan membuat laporan palsu antaranya ialah kenderaan terlibat dengan bencana banjir," ujarnya.

Beliau berkata, kos pembaikan yang tinggi menyebabkan pemilik memilih untuk membuat laporan palsu bagi tujuan pembaikan kenderaan tersebut.

"Selain itu, terdapat segelintir pemilik juga menyatakan bahawa kenderaan milik mereka telah hilang sedangkan ianya telah dijual," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, terdapat juga individu yang tidak mahu memulangkan kenderaan yang telah dipinjam dan menjadikan alasan hilang bagi membolehkan mereka terus menggunakan kenderaan tersebut.

"Kesahihan dan kebenaran setiap laporan polis yang dibuat akan diketahui selepas pihak polis menyiasat lebih lanjut berkaitan dengan apa yang dilaporkan oleh pengadu," katanya.

Eng Lai berkata, pihaknya memandang serius terhadap perkara itu kerana individu yang tidak bertanggungjawab dengan membuat laporan palsu akan membazirkan masa, tenaga pihak polis dan wang kerajaan semata-mata hendak menyiasat kes yang tidak wujud.

"Sepanjang tahun ini, kita telah membuka sebanyak 152 kertas siasatan dan kesemuanya telah didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan," tegasnya.