SM Faisal, Caprice bincang selesai kes saman - Peguam

Dari kiri: SM Faisal, Caprice.
Dari kiri: SM Faisal, Caprice.
A
A
A
KUALA LUMPUR - Pihak-pihak dalam kes saman Datuk SM Faisal SM Nasimuddin Kamal terhadap penyanyi rap Caprice sedang berusaha menyelesaikan kes itu secara baik sebelum perbicaraan bermula pada 4 Oktober 2023 di Mahkamah Sesyen di sini.

Peguam Puteri Ummi Kartini Abd Latiff yang mewakili SM Faisal berkata, jika tiada penyelesaian, mahkamah menetapkan 4 hingga 6 Oktober tahun depan untuk mendengar kes berkenaan.

"Pengurusan kes ditetapkan pada 3 Julai 2023 untuk arahan lanjut perbicaraan," katanya ketika dihubungi selepas pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Hakim Azian Othman yang turut disertai peguam Harjoth Singh mewakili Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli.

SM Faisal menyaman Ariz selaku defendan pada 15 Ogos lepas berhubung dakwaan memuat naik hantaran fitnah menerusi Instagram miliknya, dengan mengaitkan ahli perniagaan itu dengan kes bekas isterinya Emilia Hanafi.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, SM Faisal selaku plaintif berkata pada 27 Jun lepas, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur memerintahkan Emilia menjalani hukuman penjara selama tujuh hari, selepas didapati gagal mematuhi perintah pengkomitan mahkamah.
Artikel Berkaitan:


SM Faisal mendakwa pada 28 Jun, Ariz memburukkan plaintif atau Mahkamah Syariah dengan memuat naik video dan hantaran memfitnah, melalui Instagram defendan yang antara lain membawa maksud bahawa beliau seorang lelaki yang kejam dan semberono mahu memenjarakan bekas isterinya, selain tidak bertimbang rasa dan bertindak agresif terhadap kaum wanita atau kanak-kanak.

Plaintif memohon ganti rugi am, punitif, teladan, teruk dan kos selain perintah injunksi supaya defendan mengeluarkan dan memadamkan hantaran fitnah itu. - Bernama