11 nelayan asing ditahan, dua bot dirampas

Lima daripada 10 nelayan warga asing yang ditahan.
Lima daripada 10 nelayan warga asing yang ditahan.
A
A
A

GEORGETOWN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang berjaya memberkas 11 nelayan asing selepas menahan dua bot dalam dua tangkapan berasingan pada 22 dan 24 Disember lalu.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, dalam tangkapan pertama jam 4.17 petang, 22 Disember lalu, pihaknya menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C pada kedudukan 14 batu nautika barat Pulau Kendi.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati, bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Pulau Pangkor, Perak itu dikendalikan oleh lima nelayan asing tanpa memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah serta permit bekerja.

"Kesemua nelayan asing itu iaitu tiga warga Myanmar dan dua warga Thailand berusia lingkungan 19 hingga 52 tahun ditahan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, dalam tangkapan kedua Op Tanjung itu, pihaknya menahan sebuah bot nelayan Indonesia pada kedudukan 52 batu nautika barat daya Pulau Kendi pada jam 12.10 tengah hari, 24 Disember lalu.

"Hasil pemeriksaan ke atas bot nelayan asing yang berpangkalan di Belawan, Indonesia itu, ia dikendalikan oleh enam nelayan warga Indonesia berusia lingkungan 24 hingga 42 tahun.

"Kesemua mereka didapati gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit menangkap ikan di perairan Malaysia," katanya.

Bot nelayan tempatan yang ditahan dalam Op Tanjung oleh Maritim Malaysia Pulau Pinang pada 22 Disember lalu.
Bot nelayan tempatan yang ditahan dalam Op Tanjung oleh Maritim Malaysia Pulau Pinang pada 22 Disember lalu.

Artikel Berkaitan:

Ujar beliau, kedua-dua bot serta kesemua nelayan yang ditahan dibawa ke Jeti Limbongan Batu Maung sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

"Kesemua tangkapan disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada permit menggajikan warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.

"Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mereka yang melakukan kesalahan di laut. Saya ingin mengingatkan kepada semua komuniti nelayan tempatan termasuk pemilik bot agar mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi memastikan perairan negara sentiasa terkawal daripada isu pencerobohan bot nelayan asing," katanya.

Beliau berkata, sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.