Matlamat 'tergendala' jika pemimpin tiada integriti

Mohd Azizuddin
Mohd Azizuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Matlamat sebenar sesebuah organisasi atau pertubuhan akan tergendala sekiranya melantik pemimpin yang tidak berintegriti dan mempunyai kepentingan peribadi.

Pandangan Penganalisis Politik, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, setiap ahli lembaga pengarah yang dilantik ke sesebuah organisasi perlu bersih daripada sebarang kes rasuah.

Menurutnya, pelantikan tersebut wajar melalui proses pemilihan dan pengundian daripada agensi itu sendiri bagi memastikan mereka yang terpilih adalah benar-benar layak.

Isunya sekarang bukan lantikan politik ataupun tidak tetapi tahap integriti seseorang itu. Ada juga golongan profesional terlibat dengan rasuah, jadi tidak kisah siapa dilantik yang penting jujur melaksanakan tugas.

"Bagaimanapun, lebih baik sekiranya lantikan politik dan profesional diseimbangkan. Kepakaran, kemahiran dan pengalaman mereka dapat dikongsi untuk tujuan yang sama," jelasnya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) melahirkan harapan agar pelantikan baharu ke jawatan lembaga pengarah untuk semua Badan Berkanun Persekutuan (FSB) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dilakukan mengikut kepakaran, kemahiran dan pengalaman serta bukannya faktor politik semata-mata.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Tricia Yeoh berkata, langkah meletakkan gabungan politik sebagai kriteria pelantikan akan menjejaskan integriti sesebuah organisasi.

Tambah Mohd Azizuddin, pelantikan kroni juga harus dielakkan kerana dibimbangi terdapat agenda lain seperti ingin mengaut keuntungan.

Artikel Berkaitan:

"Lantikan yang tidak sesuai akan menyebabkan pengurusan agensi yang terlibat menjadi kucar-kacir," ujarnya.