'Usah masuk campur urusan kami'

Beberapa isu berbangkit harus diselesaikan segera bagi mengangkat semula sukan sepak takraw di negara ini. - Gambar hiasan
Beberapa isu berbangkit harus diselesaikan segera bagi mengangkat semula sukan sepak takraw di negara ini. - Gambar hiasan
A
A
A

PERSEKUTUAN Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) diminta tidak mencampuri sebarang masalah yang berkaitan dengan arena sepak takraw tempatan sehingga melebihi had bidang badan induk tersebut.

Perkara itu disuarakan Presiden Persatuan Sepak Takraw Selangor, Datuk Markiman Kobiran yang turut menegaskan Pesuruhjaya Sukan (PJS) sebagai badan tertinggi yang diberikan kuasa untuk mengawal selia persatuan sukan di negara ini.

“Saya nak tanya, siapa (Setiausaha Agung ISTAF Datuk Abdul) Halim Kader? Siapa sebenarnya dia? Perdana Menteri Malaysia? Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM)?

“Satu lagi, sekiranya saya tidak patuh kepada kenyataan dia, adakah kita boleh dikenakan hukuman? Mengapa ISTAF mencampuri urusan dalaman sepak takraw kita?

“Pada saya, dia tidak boleh langsung masuk campur kerana ini merupakan isu antara PSM dan Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (MASTAF),” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Kenyataan Markiman itu sebagai reaksi tindakan Halim yang mengutuskan surat kepada Setiausaha Agung MASTAF, Dr Noor Azam Samsudin bertarikh 23 Disember 2022.

Dalam surat berkenaan, Abdul Halim meminta MASTAF mengambil tindakan segera untuk mengadakan mesyuarat agung membubarkan badan induk itu mengikut lunas perlembagaan.

Ia bagi membolehkan ISTAF dapat mengambil tindakan untuk 'melepaskan' MASTAF daripada ahli gabungan ISTAF dan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF).

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Markiman menjelaskan, keahlian MASTAF di bawah naungan ISTAF dan ASTAF tertakluk kepada pembubaran dan tindakan pembatalan yang akan diambil PJS.

“Selepas tindakan selesai diambil oleh PJS, baharulah MASTAF hilang entiti sebagai badan induk sepak takraw negara di bawah undang-undang Malaysia.

“Sekarang MASTAF hanya menunggu notis pembubaran daripada PJS untuk urusan harta-harta dan liabiliti kita, bukan ISTAF, bukan Halim Kadir,” tegasnya yang juga bekas Timbalan Presiden MASTAF.