Kerajaan tiada idea tangani kenaikan kos sara hidup

Wan Saiful
Wan Saiful
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan menyifatkan bahawa kerajaan diterajui Pakatan Harapan (PH) dan BN ketika ini tidak mempunyai idea untuk menangani isu kenaikan kos sara hidup dihadapi rakyat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, janji Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyediakan cadangan penyelesaian terhadap masalah itu dalam tempoh dua minggu juga tidak ditunaikan.

"Hari ini sudah empat minggu. Kos sara hidup masih terus naik. Telur masih tak ada. Harga makanan harian makin naik. Tapi tidak ada satu pun langkah konkrit yang kerajaan telah mulakan. Nampaknya janji dua minggu ini sama macam janji harga minyak turun dalam 24 jam.

“Sampai hari ini belum habis ‘mencerakinkan’ solusi. Tersengih bertutur bahasa berbunga-bunga untuk tunjuk hebat, tapi hanya wayang untuk menutup kelemahan tak tahu nak buat apa untuk rakyat.

“Semua ini membuktikan bahawa PH dan BN tak ada idea. Ini adalah kerajaan menyelamatkan diri sendiri dan memenuhi cita-cita peribadi, sebab itu PH-BN tiada idea bagaimana menyelamatkan rakyat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Ahad.

Pada 27 November lalu, Anwar dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara 2022 berkata, beliau memberikan tempoh dua minggu kepada kementerian terbabt untuk memberikan cadangan bagi menangani kenaikan kos sara hidup.

Menurut Ahli Parlimen Tambun itu, ia termasuk strategi dan cadangan untuk program subsidi bersasar kepada golongan berpendapatan rendah selain penambahbaikan terhadap sektor swasta.

Dalam pada itu, Wan Saiful mendakwa bahawa PH dan BN ketika ini tidak menjadikan agenda nasib rakyat sebagai keutamaan tetapi sebaliknya memberikan fokus kepada isu perebutan jawatan dan pelantikan membabitkan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

Artikel Berkaitan: