Malaysia 'makan besar' belasah Laos 5-0

Jagoan skuad Harimau Malaya, Wilkin (dua dari kanan) dan Haqimi (tiga dari kanan) masing-masing meledak satu gol untuk membantu Malaysia mengatasi Laos 5-0 dalam saingan Kumpulan B Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu. - Foto FB FAM
Jagoan skuad Harimau Malaya, Wilkin (dua dari kanan) dan Haqimi (tiga dari kanan) masing-masing meledak satu gol untuk membantu Malaysia mengatasi Laos 5-0 dalam saingan Kumpulan B Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu. - Foto FB FAM
A
A
A

MALAYSIA seperti diramal mudah membelasah Laos 5-0 pada aksi kedua Kumpulan B Piala AFF 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.

Pemain naturalisasi, Sergio Aguero membuka tirai jaringan pada babak pertama, manakala dua ledakan Faisal Halim pada separuh masa kedua.

Pemain gantian, Haqimi Azim Rosli serta Stuart Wilkin turut meledak menuju 15 minit ke penghujung perlawanan.

Pemain sayap, Norhakim Hassan juga menjadi penting buat Malaysia apabila dua hantarannya membantu jaringan Aguero dan Faisal.

Skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pah-gon melakukan lapan pertukaran dalam kesebelasan utama.

Kapten, Safawi Rasid, Faisal dan pertahanan, Sharul Nazeem masih dikekalkan ketika pasukan negara menewaskan Myanmar 1-0 pada aksi pertama Rabu lalu.

Seusai wisel ditiup, skuad negara terus mengasak untuk memburu gol awal sehingga memaksa Loas berkampung di 'kandang' mereka.

Para pemain negara terpaksa mencari helah, masuk ke kanan dan kiri padang untuk menarik pemain lawan keluar daripada bertahan di kawasan mereka.

Artikel Berkaitan:

Strategi akhirnya menjadi apabila larian Norhakim dari sebelah kanan gawang lawan berjaya memecah benteng Laos.

Lorongannya disempurnakan dengan baik oleh Aquero untuk gol pertamanya bersama skuad negara pada minit ke-29.

Malaysia juga berpeluang menambah jaringan menerusi Faisal, Safawi dan Mukhairi Ajmal, namun gagal menemui sasaran.

Memasuki babak kedua, Malaysia melakukan dua pertukaran apabila memasukkan Brendan Gan menggantikan Sharul di benteng.

Seorang lagi pemain naturalisasi, Lee Tuck pula mengisi posisi Mukhairi di bahagian tengah.

Skuad negara kemudian menyusun semula serangan bagi menambah jaringan, namun buntu dek strategi parkir bas Laos yang ampuh bertahan.

Disiplin bertahan pasukan lawan akhirnya rapuh, apabila Faisal menanduk cantik hantaran jauh Safawi pada minit ke-65.

Jaringan itu menyuntik semangat Faisal untuk menggandakan jaringan apabila meledak gol ketiga pada minit ke-68.

Pemain baharu Selangor FC itu kemudian direhatkan oleh Pan-gon dan digantikan Haqimi.

Pemain muda berusia 19 tahun itu tidak menunggu lama untuk mencetak nama selaku penjaring apabila menyudahkan hantaran Safawi pada minit ke-77.

Ketika permainan menuju penamat, Wilkin enggan pulang tangan kosong apabila menyumbat gol kelima negara dari luar kotak penalti pada minit ke-87.

Pasukan negara akan berdepan dua pesaing sukar iaitu menentang Vietnam di Hanoi pada Selasa, sebelum menerima kunjungan Singapura pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan pada 3 Januari.

Malaysia pernah muncul juara pada edisi 2010, selain naib juara sebanyak tiga kali pada 1996, 2014 dan 2018.