[VIDEO] Tragedi Batang Kali: Syabas, terima kasih wira penyelamat

Foto yang dikongsikan Dr Noor Hisham di laman Facebooknya.
Foto yang dikongsikan Dr Noor Hisham di laman Facebooknya.
A
A
A

SHAH ALAM - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kejadian tanah runtuh di Father’s Organic Farm di Jalan Batang Kali-Genting Highlands yang bermula sejak 16 Disember lalu berakhir setelah mangsa terakhir tragedi itu berjaya ditemui pada jam 4.50 petang Sabtu.

Susulan itu, banyak pihak yang tampil menzahirkan penghargaan atas penat lelah pasukan SAR dalam usaha menemukan kesemua mangsa yang terbabit.

Antaranya Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengucapkan tahniah dan syabas kepada anggota SAR yang terlibat dalam tragedi tanah runtuh tersebut.

Beliau menerusi hantaran di Facebooknya turut berkongsi sekeping foto pasukan penyelamat beserta beberapa ekor anjing unit pengesan (K9) bergambar setelah tamat operasi.

“Inilah wira-wira negara bergambar beramai-ramai selepas berjaya menemui mayat mangsa terakhir pada hari ini. Takziah kepada semua keluarga mangsa,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Sementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan turut merakamkan penghargaan buat pasukan SAR daripada pelbagai agensi kerajaan yang telah bertungkus lumus dan mengerah keringat sehingga operasi menemukan mangsa berakhir pada petang Sabtu.

Foto yang dikongsikan Mohamad Hasan di laman Facebooknya.
Foto yang dikongsikan Mohamad Hasan di laman Facebooknya.

“Jasa bakti anggota pasukan SAR yang terlibat amat dihargai,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil juga berterima kasih buat pengamal media yang bertungkus lumus menyampaikan perkembangan terkini sejak hari pertama tragedi.

“Setinggi-tinggi penghargaan buat semua yang terlibat dalam usaha mencari dan menyelamat yang berakhir pada hari ini.

“Salam takziah buat semua keluarga mangsa tragedi tanah runtuh Batang Kali,” kata beliau.