Lelaki didakwa tunjuk keris, batang besi di Pulau Besar

Kamal (dua dari kiri) ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret pada Jumaat.
Kamal (dua dari kiri) ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret pada Jumaat.
A
A
A

MELAKA - Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan menunjukkan keris kecil, batang besi dan cuba menggunakan kekerasan jenayah kepada dua pengawal keselamatan di sebuah resort di Pulau Besar.

Kamal Mohamed, 45, yang tidak bekerja bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.

Mengikut pertuduhan, dia didapati dengan sengaja menunjukkan keris kecil dan batang besi kepada Mohd Arabee Daud dan Muhammad Taufik Abdul Kahar, kedua-duanya berusia 40 tahun menyebabkan hampir menggunakan kekerasan jenayah kepada mereka.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Puteri Island Resort, Pulau Besar di sini kira-kira jam 12.30 tengah hari pada 19 Disember lalu.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri mencadangkan jaminan RM10,000 berserta syarat tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan diringankan kerana dia merupakan anak yatim piatu.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tidak boleh mengganggu kedua-dua mangsa dan saksi serta melaporkan diri sekali seminggu di balai polis berhampiran.

Artikel Berkaitan:

Selain itu mahkamah turut menetapkan sebutan semula pada 7 Februari depan.