Teliti keperluan senaraikan telur import barang kawalan

Haslina - Foto Bernama
Haslina - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang meneliti keperluan menyenaraikan telur yang diimport sebagai barangan terkawal, antara lain bagi memastikan harganya kekal mampu milik.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, MAFS dalam perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengenai keperluan berkenaan.

Ia berikutan kebenaran sementara yang diberikan oleh MAFS pada 16 Dis lepas untuk membawa masuk telur dari sumber luar bagi menampung kekurangan bekalan telur yang sedang dihadapi oleh negara sejak beberapa bulan lepas.

"Telur yang dibawa masuk dari sumber luar (memang) kecil sedikit (saiz) tetapi sekarang peranan kementerian (MAFS) adalah untuk menangani isu bekalan dan memastikannya sedia ada.

"Kita juga akan memastikan telur yang dibawa masuk berkualiti manakala KPDN memastikan harga (telur diimport) adalah mampu milik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Pengedaran Kit Makanan MTL dan Intervensi Pengedaran Telur Ayam di ibu pejabat FAMA di sini hari ini.

Terdahulu, Haslina meninjau persediaan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membekalkan 62,500 kit makanan dan telur kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) yang akan diedarkan kepada mangsa banjir Monsun Timur Laut (MTL) di negeri-negeri Pantai Timur.

Beliau berkata, pengedaran itu bagi melengkapkan hasrat kerajaan mempertingkatkan bekalan dalam membantu golongan yang terkesan.

"Kita meningkatkan rantaian bekalan (telur) ke kawasan yang kita telah kenal pasti memang kurang bekalan telur, malah kita tambah lagi jumlah untuk dihantar ke Kelantan dan Terengganu.

Artikel Berkaitan:

"Selain NADMA, pengedaran melibatkan kerjasama dengan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk memastikan pergerakan bekalan berjalan dengan lancar,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah FAMA, Datuk Zainal Abidin Yang Razalli berkata, program tersebut mendapat kerjasama tujuh syarikat pengeluar telur untuk mengedarkan telur ke negeri Pantai Timur yang terjejas akibat banjir, di samping menjamin ketersediaan bekalan telur di kawasan terlibat. - Bernama