Sivarraajh tidak akan rayu pembatalan

Sivarraajh
Sivarraajh
A
A
A

CAMERON HIGHLANDS — Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk C Sivarraajh tidak akan memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah membatalkan kemenangannya pada PRU14, 9 Mei lalu.

Justeru, pendirian Naib Presiden MIC itu bakal menyaksikan Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan bagi kerusi yang disandang oleh BN sebelum ini.

Tempoh 14 hari dibenarkan untuk Sivarraajh mengemukakan rayuan akan berakhir esok.

Katanya, beliau lebih rela merayu kepada masyarakat Cameron Highlands untuk memberi mandat kepadanya untuk lima tahun lagi daripada merayu di mahkamah dengan mendakwa rayuannya tidak mempunyai makna terhadap pembatalan keputusan PRU14.

“Saya rasa keputusan itu tidak adil bagi diri saya...dari mula lagi saya telah menafikan bahawa ada unsur rasuah dalam pemilihan. Oleh sebab keputusan mahkamah macam itu, kita terima sahaja,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas majlis angkat sumpah ahli-ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri Pahang yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, di sebuah hotel di sini.

Menurut Sivarraajh, beliau telah memberi khidmat selama lima bulan kepada penduduk kawasan itu selepas PRU14 serta membangkitkan isu dan masalah masyarakat di situ hingga ke peringkat Dewan Rakyat.

Pada 30 November lalu, Mahkamah Khas Pilihan Raya di Kuala Lumpur mengisytiharkan kerusi Parlimen Cameron Highlands kosong selepas mendapati Sivarraajh melanggar Akta Pilihan Raya 1954 kerana didakwa menyogok pengundi dalam kalangan Orang Asli di kawasan Parlimen itu.

Artikel Berkaitan:

Pada PRU14, Sivarraajh memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 597 undi menewaskan calon DAP, M. Manogaran bersama calon PAS, PSM dan Berjasa dalam pertandingan lima penjuru.

Bagaimanapun, Manogaran kemudian mengemukakan petisyen pada Jun lalu dengan mendakwa Sivarraajh, yang berkempen bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, membayar penduduk Orang Asli antara RM30 hingga RM1,000 melalui Tok Batin bagi memastikan kemenangan calon BN.

Sementara itu, Wan Rosdy ketika berucap dalam majlis itu, memberi amaran kepada ahli majlis bahawa mereka yang gagal menghadiri mesyuarat untuk tiga kali berturut-turut akan dikenakan tindakan termasuk memotong elaun atau dipecat.

Seramai 232 orang menerima watikah pelantikan sebagai Ahli Majlis PBT bagi penggal baharu 2018/2020.

Ahli majlis yang dilantik dalam kalangan ahli politik dan badan bukan kerajaan (NGO) pelbagai kaum serta golongan profesional, akan berkhidmat untuk tiga majlis perbandaran dan lapan majlis daerah di Pahang.- Bernama