PGA cekup tokan dadah

Nor Azmi (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan barangan dirampas pada sidang media di IPD Sabak Bernam, di sini, hari ini.
Nor Azmi (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan barangan dirampas pada sidang media di IPD Sabak Bernam, di sini, hari ini.
A
A
A

SABAK BERNAM - Baru enam bulan berada di negara ini, seorang lelaki warga Myanmar sudah pandai 'berjinak-jinak' dalam aktiviti pengedaran dadah.

Bagaimanapun, kegiatan suspek berusia 33 tahun itu akhirnya terbongkar apabila dicekup sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang menjalankan rondaan di hutan paya bakau di Sungai Limau, di sini, 13 April lalu.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Nor Azmi Isa berkata, suspek ditahan pada jam 9.30 pagi.

"Suspek pada mulanya terkejut dengan kehadiran anggota PGA dan tidak sempat melarikan diri," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, di sini, hari ini.

Nor Azmi berkata, hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 77 paket plastik lut sinar mengandungi dadah disyaki heroin seberat 170 gram bernilai RM5,000 dirampas.

"Selain itu, kita turut menjumpai dua paket plastik lut sinar mengandungi dadah jenis syabu seberat 5.20 gram bernilai RM700 dalam beg milik suspek.

"Turut ditemui, penimbang digital bersama telefon bimbit dan wang tunai sebanyak RM259," katanya.

Nor Azmi berkata, semakan turut mendapati suspek tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah selain hasil ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah.

Artikel Berkaitan:

"Suspek direman selama 13 hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 39A (1) akta yang sama," katanya.