Adisak perkuatkan cabaran TFC

Adisak Kraisorn
Adisak Kraisorn
A
A
A

[DIKEMAS KINI] TERENGGANU Football Club Sdn Bhd (TFCSB) mengumumkan pemain import baharu, Adisak Kraisorn bakal memperkuatkan skuad Terengganu FC (TFC) bagi mengharungi saingan musim 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif TFCSB, Ab Rasid Jusoh berkata, pemain kelahiran Thailand berusia 31 tahun itu adalah penyerang kebangsaan negara Gajah Putih yang berpengalaman luas dalam arena bola sepak.

Katanya, Adisak akan menggantikan kekosongan yang ditinggalkan pemain import kacukan Jerman-Filipina, Manuel Ott bagi mengisi kuota Asean.

“Adisak memutuskan untuk berhijrah dari Thailand ke Liga Malaysia bagi mendapatkan cabaran serta suasana baharu setelah sekian lama bergelumang di negara sendiri.

“Beliau memilih bersama TFC kerana mengagumi aura pasukan ini yang semakin dikenali di pentas ASEAN,” katanya dalam kenyataan media pada Khamis.

Menurut Ab Rasid, pemilihan pemain berketinggian 1.83 meter itu berdasarkan kepada reputasi dan sentuhannya yang berbisa di posisi penyerang.

Kehadiran beliau diyakini mampu memberi lebih variasi di bahagian jentera serangan TFC yang sebelum ini diisi oleh Kpah Sherman dan Kipre Tchetche.

“Adisak pernah menjuarai kejohanan Piala AFF bersama Thailand pada 2013 dan 2020. Pada 2018 beliau telah memenangi gelaran penjaring terbanyak bagi kejohanan sama.

Artikel Berkaitan:

“Beliau kini sedang beraksi bersama pasukan Thailand bagi saingan Piala AFF 2022,” katanya.