Kampung Raja, Cameron Highlands dilanda banjir lumpur

Gambar kejadian banjir lumpur di Kampung Raja,Cameron Highlands yang tular di Facebook.
Gambar kejadian banjir lumpur di Kampung Raja,Cameron Highlands yang tular di Facebook.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Beberapa rumah dan jalan sekitar Kampung Raja, Cameron Highlands dipenuhi lumpur ekoran kejadian banjir kilat yang berlaku di kawasan itu pada petang Selasa.

Berdasarkan perkongsian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata, Ho Chi Yang melalui Facebooknya, kejadian berlaku kira-kira jam 6 petang.

Menurutnya, sebelum kejadian hujan tidak terlalu lebat.

"Akibat kejadian, beberapa jalan dan rumah penduduk dilanda banjir kilat bersama lumpur.

"Selain itu, terdapat kenderaan dan barang ditenggelami air," katanya.

Menurut Chi Yang, beliau bersama pasukan ADUN Tanah Rata telah meninjau kawasan tersebut dan menghubungi pelbagai agensi kerajaan menggesa langkah segera dan jangka masa panjang diambil untuk mengatasi masalah banjir serta risiko tanah runtuh di kawasan itu.

"Saya juga telah menghubungi pihak Pejabat Daerah Cameron Highlands untuk membincangkan solusinya.

"Pihak berkenaan bersetuju untuk memaklumkan perkara ini kepada agensi kerajaan bertaraf negeri seperti Jabatan Pengairan Saliran (JPS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri untuk peruntukan melaksanakan langkah-langkah pencegahan dalam masa terdekat," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dakwanya, terdapat kerja pembukaan tanah di atas bukit berdekatan Kampung Baru, Kampung Raja.

"Akibat daripada itu, kayu dan lumpur telah dihanyut ke lereng bukit.

"Selain itu, banjir kerap kali berlaku di Kampung Raja hingga menimbulkan kebimbangan penduduk," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani mengesahkan kejadian banjir kilat yang berlaku di kawasan itu.

Ikuti perkembangan semasa mengenai banjir di seluruh negara di sini!