Newcastle lepasi halangan Bournemouth

Aksi Botman ketika Newcastle United menentang AFC Bournemouth di pusingan keempat Piala Liga Inggeris. - Foto: Agensi
Aksi Botman ketika Newcastle United menentang AFC Bournemouth di pusingan keempat Piala Liga Inggeris. - Foto: Agensi
A
A
A

SVEN Botman disifatkan telah memainkan peranan penting dalam memastikan kemaraan Newcastle United ke pusingan lapan terbaik Piala Liga setelah menewaskan Bournemouth 1-0 di Stadium St James' Park.

Pengendali The Magpies, Eddie Howe berkata, pemain pertahanan dari Belanda itu beraksi cemerlang ketika menyekat jentera serangan The Cherries kendalian, Gary O'Neil.

“Sven Botman beraksi sangat baik dalam perlawanan ini. Saya fikir itu adalah permainan terbaiknya untuk kami khasnya penguasaan di udara. Dia dominan terhadap penyerang Bournemouth.

"Malah sebelum ini penguasaan bolanya pada musim ini sangat baik tetapi dia juga banyak bermain di kawasan lain. Ia adalah malam yang baik untuknya dan Newcastle United," katanya.

Pada perlawanan pusingan 16 terbaik itu, Newcastle menewaskan Bournemouth hasil jaringan sendiri Adam Smith pada minit ke-67 di hadapan lebih 51,000 penyokong Toon.

Howe sebelum itu menamakan kesebelasan yang kuat menentang kelab lamanya apabila memanggil semula bintang Piala Dunia Qatar 2022 seperti Kieran Trippier dan Callum Wilson, namun Botman yang paling bersinar untuk Magpies.

Mengenai para bintang Qatar 2022 Newcastle United, Howe berkata: "Pemain Piala Dunia kembali cergas dan sihat, serta semua terdesak untuk bermain.

"Tiada seorang pun daripada mereka yang mempunyai minit permainan setelah menghabiskan masa yang lama tanpa perlawanan, ini situasi yang sentiasa agak sukar, walaupun anda sedang berlatih." jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama Howe mengakui pasukannya tidak berada pada tahap terbaik, namun menambah: "Saya tidak fikir kami berada pada tahap terbaik pasukan.

"Namun saya tidak fikir kami akan menjadi hanya kerana peningkatan permainan dalam perlawanan ini. Saya fikir Bournemouth menyukarkan kami, dan bahagian pertahanan beraksi cemerlang."