Mangsa banjir di Terengganu mencecah 40,456 orang

Anggota bomba menyelamatkan mangsa banjir di Kampung Banggol Peradong di Kuala Terengganu. - Foto: Ihsan JBPM Terengganu
Anggota bomba menyelamatkan mangsa banjir di Kampung Banggol Peradong di Kuala Terengganu. - Foto: Ihsan JBPM Terengganu
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Banjir di seluruh daerah di Terengganu belum menunjukkan penurunan dimana catatan jumlah mangsa banjir pada pagi Rabu mencecah 40,456 orang berbanding 39,500 mangsa pada tengah malam Selasa.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), sehingga jam 8 pagi Rabu, kesemua mangsa dari 11,197 keluarga itu ditempatkan di 299 buah pusat pemindahan sementara (PPS) di lapan daerah di negeri itu.

Menurut kenyataan dikeluarkan, daerah Kemaman merekodkan jumlah mangsa tertinggi seramai 9,147 orang diikuti Besut (8,536), Hulu Terengganu (5,893), Setiu (4,352), Dungun (4,419), Kuala Nerus (3,597), Kuala Terengganu (2,777) dan Marang (1,735).

Jelas kenyataan itu, keadaan cuaca di seluruh negeri setakat ini menunjukkan hujan berlaku di beberapa tempat.

Sementara itu, berdasarkan laman web rasmi publicinfobanjir.water.gov.my yang dikemaskini sehingga jam 7.45 pagi Rabu menunjukkan lima sungai di Terengganu melebihi tahap bahaya.

Sungai Dungun di Jambatan Jerangau menunjukkan trend menaik sehingga 13.5 meter (m) melebihi paras bahaya (12.5 m).

Dua lagi sungai yang melebihi tahap bahaya dengan trend menurun iaitu Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu dan Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman di Kemaman.

Sungai Nerus di Kampung Jeram, Kuala Nerus yang turut melebihi tahap bahaya tidak menunjukkan perubahan manakala Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu menunjukkan trend menurun.

Artikel Berkaitan: