Lebih 70,000 mangsa banjir di PPS di lima negeri

Beberapa kawasan dinaiki air ketika tinjauan udara di sekitar Pasir Putih, Pasir Mas dan Kota Bharu hari ini. Foto Bernama
Beberapa kawasan dinaiki air ketika tinjauan udara di sekitar Pasir Putih, Pasir Mas dan Kota Bharu hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah keseluruhan mangsa banjir masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di lima negeri meningkat kepada 71,208 orang malam ini berbanding 66,718 orang petang tadi dengan Kelantan dan Terengganu terus merekodkan peningkatan bilangan mangsa.

Di KELANTAN, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa meningkat kepada 31,311 orang malam ini berbanding 26,630 orang petang tadi dan sebanyak 139 PPS dibuka membabitkan jajahan Kota Bharu, Pasir Mas, Bachok, Tanah Merah, Pasir Puteh, Kuala Krai, Machang dan Jeli.

Di TERENGGANU, Sekretariat JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir meningkat sedikit kepada 39,311 orang daripada 10,937 keluarga berbanding 39,108 orang daripada 10,735 keluarga petang tadi.

Beberapa kawasan dinaiki air ketika tinjauan udara di sekitar Besut, Hulu Terengganu dan Setiu hari ini. Foto Bernama
Beberapa kawasan dinaiki air ketika tinjauan udara di sekitar Besut, Hulu Terengganu dan Setiu hari ini. Foto Bernama

Sebanyak 304 PPS beroperasi di kesemua lapan daerah di negeri itu dengan Besut merekodkan seramai 9,225 mangsa, Kemaman (8,573 mangsa), Hulu Terengganu (6,375 mangsa), Setiu (4,988 mangsa), Dungun (4,005 mangsa), Kuala Terengganu (2,545 mangsa), Kuala Nerus (1,839 mangsa) dan Marang (1,761 mangsa).

Di PAHANG, Sekretariat JPBN memaklumkan bilangan mangsa menunjukkan penurunan malam ini selepas hanya 484 orang daripada 113 keluarga ditempatkan di lima PPS berbanding 873 orang daripada 214 keluarga petang tadi.

Di JOHOR, jumlah mangsa turut berkurangan dengan tinggal 48 mangsa di PPS malam ini berbanding 53 orang petang tadi susulan penutupan sebuah PPS iaitu Balai Raya Kampung Kuala Paya, Segamat, pada jam 6 petang tadi menjadikan hanya dua PPS beroperasi di daerah berkenaan.

Di PERAK, jurucakap Sekretariat JPBN menyatakan 54 orang daripada 17 keluarga kekal di dua PPS malam ini membabitkan daerah Bagan Datuk dan Hilir Perak. - Bernama

Artikel Berkaitan: